sukan

Man-Tee buru penamat sempurna musim ini , hampiri hadiah wang tunai RM162,463

Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun mendedahkan bahawa keupayaan mengawal tiga pukulan pertama menjadi antara faktor penting kejayaan gandingannya bersama Man Wei Chong menewaskan pasangan pilihan kelima dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, pada separuh akhir Terbuka Hong Kong 2026, hari ini.

Pasangan nombor sembilan dunia itu mempamerkan persembahan meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-19 di Arena Kai Tak, sekali gus mengesahkan tempat ke final kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.

Menurut Kai Wun, pasangan India tersebut mempunyai kelebihan dari segi kelajuan, kekuatan dan tenaga, menyebabkan mereka perlu memastikan tiga pukulan pertama dikawal dengan baik bagi mengelakkan lawan mendominasi permainan.

“Semua tahu kelajuan dan kekuatan mereka sangat bagus, begitu juga tenaga yang dimiliki. Jadi, kami perlu menjaga tiga pukulan awal sebelum dapat bermain mengikut corak sendiri.

“Apabila kami dapat mengejar dan mengawal permainan, keyakinan juga semakin meningkat,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pendekatan tersebut memberikan hasil positif apabila Wei Chong-Kai Wun berjaya mengatasi cabaran pasangan India itu meskipun berdepan tekanan pada beberapa detik penting perlawanan.

Pada set pembukaan, kedua-dua pasangan saling memberikan tentangan sebelum gandingan Malaysia memperoleh kelebihan untuk mencatat kemenangan 21-18.

Bagaimanapun, cabaran lebih besar menanti pada set kedua apabila Satwiksairaj-Chirag tampil lebih agresif untuk mendahului 7-3.

Wei Chong-Kai Wun kemudian memperkemaskan permainan dengan meningkatkan kawalan pukulan dan pergerakan di gelanggang sehingga berjaya mengubah kedudukan.

Pasangan negara bangkit mendahului 17-12 sebelum wakil India meningkatkan tekanan untuk merapatkan jurang mata.

Walaupun lawan berjaya menyamakan kedudukan 19-19, Wei Chong-Kai Wun mengekalkan ketenangan untuk meraih dua mata terakhir bagi memastikan kemenangan 21-19.

Kejayaan tersebut membolehkan pasangan pilihan kelapan kejohanan itu mara ke final Terbuka Hong Kong buat kali pertama dalam karier mereka.

Lebih bermakna, pencapaian berkenaan menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk kembali memiliki wakil beregu lelaki di pentas final sejak Koo Kien Keat-Tan Boon Heong melakukannya pada 2012.

Kini, Wei Chong-Kai Wun berpeluang menambah gelaran kedua musim ini selepas merangkul kejuaraan Terbuka Perancis pada Oktober lalu.

Dalam final di Paris, pasangan negara menewaskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 13-21, 21-15, 21-7 untuk muncul juara.

Sementara itu, Kai Wun menegaskan bahawa mereka mahu menutup kempen tahun ini dengan persembahan terbaik tanpa terlalu memikirkan keputusan akhir.

“Ini kejohanan terakhir tahun ini, jadi saya mahu mengambil peluang untuk memberikan yang terbaik dan menghasilkan keputusan terbaik sebagai penutup musim,” katanya.

Wei Chong-Kai Wun akan berdepan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada final esok selepas gandingan tersebut menewaskan Kang Min Hyuk-Lee Jong Min dari Korea Selatan 21-18, 21-11.

Sekiranya muncul juara, pasangan Malaysia bakal membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (kira-kira RM162,463), manakala naib juara menerima AS$19,000 (kira-kira RM78,147).