sukan

Pearly-Thinaah sahkan Malaysia ada wakil di final

Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong terus menjadi antara gelanggang yang memberikan pencapaian terbaik kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila mereka sekali lagi mengesahkan tempat ke separuh akhir, semalam.

Gandingan nombor empat dunia itu meneruskan rekod cemerlang dengan melangkah ke kelompok empat terbaik dalam kesemua empat edisi Terbuka Hong Kong yang disertai sejak 2023.

Pencapaian terbaharu itu hadir selepas Pearly-Thinaah menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Lauren Lam-Allison Quynh Lee menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-11 pada aksi suku akhir di Arena Kai Tak.

Pasangan pilihan kedua kejohanan tersebut hanya memerlukan 37 minit untuk menamatkan cabaran lawan yang berada di ranking ke-14 dunia, sekali gus meneruskan usaha memburu gelaran Terbuka Hong Kong buat kali kedua.

Pada set pembukaan, Pearly-Thinaah menerima tentangan daripada gandingan Amerika Syarikat sebelum berjaya menamatkan saingan dengan kemenangan 21-18.

Bagaimanapun, pasangan negara memperlihatkan keputusan lebih meyakinkan pada set kedua apabila menghadkan kutipan mata lawan kepada 11 untuk melengkapkan kemenangan.

Keputusan itu membolehkan Pearly-Thinaah mengekalkan rekod tanpa kehilangan sebarang set selepas mengharungi tiga perlawanan sepanjang kempen kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.

Sebagai rekod, pasangan negara mula mencipta pencapaian penting di Terbuka Hong Kong pada edisi 2023 apabila berjaya melangkah sehingga ke perlawanan akhir sebelum menamatkan pertandingan sebagai naib juara.

Setahun kemudian, Pearly-Thinaah memperbaiki pencapaian tersebut apabila merangkul gelaran juara edisi 2024 selepas menewaskan pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Mereka kemudian meneruskan rekod positif pada edisi 2025 dengan melangkah ke separuh akhir sebelum perjalanan mereka dihentikan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.

Kini, kejayaan kembali mara ke kelompok empat terbaik pada edisi 2026 memastikan pasangan negara mengekalkan rekod konsisten dalam keempat-empat penyertaan tersebut.

Lebih menarik, kemenangan ke atas pasangan Amerika Syarikat itu turut mengesahkan pertemuan sesama wakil Malaysia pada peringkat separuh akhir.

Pearly-Thinaah dijadual berdepan gandingan muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, yang terlebih dahulu menewaskan Francesca Corbett-Jennie Gai dari Amerika Syarikat.

Zi Yu-Noraqilah mencatat kemenangan 21-19, 16-21, 21-16 dalam tempoh 58 minit untuk melangkah ke separuh akhir pertama mereka dalam kejohanan bertaraf Super 500.

Pertemuan berkenaan sekali gus memastikan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu wakil di pentas final beregu wanita Terbuka Hong Kong 2026.

Bagi Pearly-Thinaah, kemenangan seterusnya akan membolehkan mereka kembali ke perlawanan akhir selepas kali terakhir muncul juara pada 2024, sekali gus membuka peluang untuk menambah satu lagi gelaran dalam rekod pencapaian mereka di Hong Kong.