Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz mengakui terdapat kesilapan dalam percaturan kesebelasan utama ketika berdepan Cong An Hanoi FC pada aksi Kejuaraan Kelab-Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Hang Day, malam tadi.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu memuji sikap dan kesungguhan pemainnya yang berjaya mengubah corak permainan untuk bangkit mencatat kemenangan 3-1 ke atas juara Liga 1 Vietnam musim 2025/2026 berkenaan.
Menurut Xisco, JDT berdepan kesukaran sepanjang 20 minit pertama apabila tuan rumah memberikan tekanan berterusan sehingga menyebabkan beberapa kesilapan berlaku di bahagian pertahanan.
Beliau menjelaskan, keadaan tersebut memaksanya melakukan penilaian segera terhadap pendekatan taktikal pasukan sebelum membuat keputusan mengubah susunan pemain.
Tindakan itu menyaksikan tiga pemain, Shahab Zahedi, Dani Bolt dan Nene dikeluarkan seawal minit ke-27 bagi memberikan laluan kepada Jairo da Silva, Oscar Arribas dan Ager Aketxe.
Xisco mengakui keputusan memilih kesebelasan utama sebelum perlawanan tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan, namun beliau segera mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Saya akui ada sedikit kesilapan percaturan yang dilakukan pada perlawanan itu dalam menyenaraikan kesebelasan utama, dan selepas mengesan ada kepincangan di tiga posisi berkenaan maka saya cari solusi untuk kembali memperkemaskan taktikal,” katanya.
Bekas pengendali Watford dan Sheffield Wednesday itu berkata, perubahan berkenaan membantu meningkatkan penguasaan bola serta membolehkan pemain JDT mengatur gerakan serangan dengan lebih tersusun.
Beliau menjelaskan, peningkatan prestasi Harimau Selatan sebenarnya mula kelihatan selepas pertukaran dilakukan dan bukannya hanya ketika memasuki separuh masa kedua.
Menurutnya, pemain mula menunjukkan peningkatan intensiti permainan dengan memperkemaskan pergerakan bola serta melakukan transisi hantaran yang lebih berkesan.
Keadaan itu membolehkan JDT mengurangkan tekanan daripada pihak lawan dan mula mencipta beberapa peluang berbahaya di kawasan pertahanan tuan rumah.
Xisco turut menegaskan bahawa pertemuan menentang pasukan kendalian Mano Polking memerlukan tahap konsentrasi tinggi kerana permainan berlangsung dalam beberapa fasa berbeza.
Walaupun pasukannya ketinggalan selepas melakukan kesilapan awal, beliau berpuas hati kerana pemain tidak panik dan terus berusaha menyesuaikan diri dengan tuntutan perlawanan.
Pada masa sama, Xisco menganggap kesukaran yang dialami dalam tempoh 20 minit pertama sebagai pengajaran penting buat dirinya dan barisan kejurulatihan.
Beliau menegaskan, setiap pemain JDT perlu memahami situasi permainan, memiliki persediaan fizikal dan mental yang baik serta sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal.
Menurut Xisco, tanggungjawab meningkatkan prestasi pasukan turut terletak pada barisan kejurulatihan yang perlu sentiasa mencari penyelesaian terbaik apabila berdepan situasi mencabar.
Justeru, beliau berbangga dengan reaksi pemain yang berjaya melaksanakan perubahan tersebut sehingga memastikan JDT membawa pulang tiga mata penting daripada aksi di gelanggang lawan.