sukan

TERKINI : Keputusan aksi JDT berdepan Finalis Musim Lalu di ASEAN Shopee Cup

Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan dalam Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026/2027 selepas bangkit menewaskan juara Vietnam, Công An Hà Nội (CAHN), pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Hàng Đẫy, malam ini.

Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Muñoz mencatat kemenangan 3-1 selepas terlebih dahulu ketinggalan pada separuh masa pertama, sebelum tiga jaringan dalam babak kedua memastikan mereka membawa pulang mata penuh dari Hanoi.

Bagaimanapun, JDT menerima tamparan awal apabila tuan rumah membuka jaringan seawal minit keempat hasil gol sendiri Nené ketika cuba menghalang gerakan berbahaya Brayan Perea di dalam kawasan penalti.

Ketinggalan satu gol menyaksikan JDT berdepan tekanan berterusan apabila pasukan tuan rumah tampil lebih agresif dalam usaha menambah jaringan.

CAHN hampir menggandakan kelebihan apabila percubaan Alan Grafite pada minit ke-15 terkena tiang gol sebelum Brayan Perea turut mengalami nasib sama pada minit ke-29.

Menyedari pasukannya berdepan kesukaran mengawal permainan, Xisco mengambil tindakan drastik dengan melakukan tiga pertukaran pemain sebelum perlawanan memasuki minit ke-30.

Oscar Arribas, Jairo dan Ager Aketxe dibawa masuk bagi menggantikan Nené, Shahab Zahedi serta Dani Bolt dalam usaha mengubah corak permainan Harimau Selatan.

Bagaimanapun, keputusan kekal 1-0 memihak tuan rumah sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, JDT memperlihatkan perubahan ketara apabila mula memberikan tekanan kepada benteng pertahanan CAHN.

Usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-50 apabila Arribas yang masuk sebagai pemain gantian melepaskan rembatan lencong dari luar kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Nguyễn Filip.

JDT kemudian melengkapkan kebangkitan pada minit ke-60 menerusi Marcos Guilherme yang menyudahkan hantaran Jairo hasil serangan balas pantas.

Gol tersebut membolehkan Harimau Selatan mendahului 2-1 selepas hampir sejam beraksi dalam pertemuan yang berlangsung sengit itu.

Tuan rumah cuba memberikan reaksi dengan melakukan beberapa pertukaran pemain, termasuk membawa masuk tonggak kebangsaan Vietnam, Nguyễn Quang Hải.

Namun, ketumpulan penyudah terus menghantui CAHN apabila satu lagi percubaan Alan pada minit ke-82 terkena tiang gol JDT.

Ketika tuan rumah giat memburu jaringan penyamaan, Arribas sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan hantaran Jairo pada minit ke-86 untuk melebarkan kedudukan kepada 3-1.

CAHN hampir merapatkan jurang pada masa kecederaan menerusi Quang Hải, namun jaringan tersebut tidak dibenarkan selepas semakan VAR mengesan kedudukan ofsaid Brayan Perea dalam gerakan berkenaan.

Kemenangan itu membolehkan JDT mengumpul enam mata selepas dua perlawanan Kumpulan B, sekali gus meneruskan permulaan sempurna selepas membelasah PKR Svay Rieng 6-0 pada aksi pembukaan bulan lalu.

Harimau Selatan seterusnya dijadual menentang Shan United dari Myanmar pada 10 Disember di Stadium Sultan Ibrahim.