sukan

Kita tahu semua ini akan berlaku – Faisal Halim

Kapten Selangor FC, Faisal Halim, mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air selepas meninggalkan satu komen ringkas tetapi mengundang pelbagai persoalan pada hantaran Instagram rakan sepasukannya, Safuwan Baharudin.

Komen yang ditinggalkan pemain berusia 28 tahun itu muncul susulan kegagalan Gergasi Merah melangkah ke final Piala FA 2026/27 selepas tersingkir kepada Kuching City FC, Ahad lalu.

“Kita tahu semua ini akan berlaku,” tulis Faisal dalam ruangan komen hantaran Safuwan.

Walaupun hanya mengandungi satu ayat, kenyataan tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila dilaporkan menerima lebih 1,300 tanda suka.

Komen berkenaan turut mencetuskan persoalan mengenai perkara sebenar yang dimaksudkan Faisal, terutama ketika Selangor masih menjadi perhatian susulan kekalahan serta kekecohan yang berlaku pada penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada penjelasan lanjut daripada Faisal mengenai maksud kenyataannya itu.

Terdahulu, Safuwan menerusi hantaran Instagram meluahkan rasa kecewa selepas Selangor gagal mempertahankan kelebihan agregat 2-1 yang dibawa daripada perlawanan separuh akhir pertama.

Gergasi Merah tewas 0-2 kepada Kuching City dalam aksi kedua di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya, sekali gus tersingkir dengan agregat 2-3.

Pemain pertahanan kelahiran Singapura itu turut memohon maaf kepada penyokong Selangor kerana pasukan gagal mencapai sasaran untuk beraksi di pentas final.

Menurut Safuwan, kemenangan dan kekalahan merupakan sebahagian daripada bola sepak yang perlu diterima setiap pemain.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat perkara lain yang berlaku sepanjang perlawanan dan lebih sukar untuk diterima berbanding keputusan di atas padang.

“Menang dan kalah adalah sebahagian daripada bola sepak, sama seperti ia sebahagian daripada kehidupan kita. Semua orang mahu berada di pihak yang menang.

“Malangnya, malam tadi kami gagal mencapai kemenangan dan kami perlu menerima keputusan itu serta bertanggungjawab terhadap perkara yang berada dalam kawalan kami,” tulisnya.

Safuwan turut membangkitkan isu semangat kesukanan dan menegaskan bahawa tindakan yang tidak menghormati pihak lawan tidak sepatutnya berlaku dalam pertandingan profesional.

Beliau menyifatkan kejadian yang disaksikannya sebagai sesuatu yang memberikan kesan mendalam, sambil menekankan kepentingan menjaga nilai kesukanan tanpa mengira keputusan perlawanan.

Kenyataan tersebut hadir selepas insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City serta Selangor pada penghujung masa tambahan.

Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon, sebelum ini mendakwa pemain tengah Kuching City, Nazmi Faiz Mansor, menghampiri kawasan bangku simpanan pasukannya secara agresif ketika meraikan jaringan kedua tuan rumah.

Pan Gon kemudian menggesa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyiasat kejadian tersebut selepas mempertikaikan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap anggota pasukannya.

MFL dilaporkan sedang mengumpulkan laporan rasmi daripada pegawai perlawanan sebelum perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, belum ada keputusan rasmi yang menentukan kesalahan individu yang terlibat.

Dalam situasi tersebut, komen Faisal pada hantaran Safuwan terus mendapat perhatian kerana ia dibuat ketika penyokong sedang membincangkan pelbagai isu berkaitan perlawanan berkenaan.

Namun, maksud sebenar kenyataan pemain sayap negara itu masih belum dapat dipastikan tanpa penjelasan daripada beliau sendiri.