Pemain perseorangan lelaki Emiriah Arab Bersatu (UAE), Riyan Malhan mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama negaranya dalam temasya Sukan Olimpik Remaja selepas muncul juara acara badminton di Dakar, Senegal, semalam.
Pemain berusia 16 tahun itu mempamerkan persembahan cemerlang apabila menewaskan pilihan utama dari Perancis, Mady Sow, dengan keputusan 21-17, 21-18 dalam aksi final yang berlangsung di Dakar Arena.
Kemenangan tersebut menyaksikan Riyan menjadi atlet pertama UAE memenangi pingat emas dalam sejarah penyertaan negara itu di Sukan Olimpik Remaja sejak edisi sulung pada 2010.
Lebih menarik, kejayaan tersebut hadir selepas pemain muda berkenaan mencatat rekod sempurna dengan memenangi kesemua enam perlawanan sepanjang kejohanan tanpa kehilangan sebarang set.
Pada perlawanan akhir, Riyan yang menghuni ranking ketiga dunia kategori remaja memperlihatkan keupayaan mengendalikan tekanan apabila berdepan Mady yang berada di kedudukan pertama dunia.
Kedua-dua pemain memberikan tentangan sengit pada set pembukaan, namun Riyan berjaya memanfaatkan peluang penting untuk memastikan kemenangan 21-17.
Memasuki set kedua, Mady cuba memberikan reaksi positif bagi mengheret perlawanan ke set penentuan, tetapi wakil UAE itu kekal konsisten untuk menamatkan permainan dengan kemenangan 21-18.
Keputusan tersebut sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik UAE, manakala Mady terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Perjalanan Riyan menuju ke final turut memperlihatkan kemampuan luar biasa apabila beliau menewaskan pemain dari Sweden, Greece dan Malaysia pada peringkat kumpulan.
Antara lawan yang berjaya disingkirkannya ialah wakil negara, Lucas Lee yang tewas 15-21, 11-21 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F.
Riyan kemudian meneruskan kemaraan dengan menewaskan Punnatat Prempunpong dari Thailand 21-14, 21-15 pada suku akhir sebelum mengatasi Hong Tian Yue dari China 24-22, 21-13 pada separuh akhir.
Kejayaan di Dakar itu hadir tidak sampai dua bulan selepas Riyan muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia Bawah 17 Tahun di Chengdu, China.
Pemain berkenaan menyifatkan dua pencapaian tersebut sebagai detik paling bermakna dalam perjalanan kariernya setakat ini.
“Kemenangan di Kejohanan Asia dan Sukan Olimpik Remaja adalah dua momen yang saya akan ingat selama-lamanya.
“Saya bangga dapat buat UAE bangga, saya mahu terus belajar, kerja keras pada masa akan datang,” katanya.
Kejayaan tersebut turut mendapat penghargaan Persekutuan Badminton UAE yang menyifatkan pencapaian Riyan sebagai detik bersejarah buat pembangunan badminton negara berkenaan.
Sebelum ini, pencapaian terbaik UAE dalam Sukan Olimpik Remaja adalah pingat perak menerusi atlet ekuestrian, Omar Al Marzooqi pada edisi Buenos Aires 2018.
Kini, Riyan bukan sahaja berjaya meningkatkan pencapaian tersebut kepada pingat emas, malah membuktikan kemampuan pemain muda UAE untuk bersaing dengan kelompok terbaik dunia dalam sukan badminton.