sukan

Terbuka Denmark: Malaysia sahkan dua slot suku akhir beregu lelaki lebih awal

Malaysia sudah boleh memastikan sekurang-kurangnya dua wakil dalam suku akhir beregu lelaki Terbuka Denmark 2026 selepas empat pasangan negara mengesahkan tempat dalam dua pertembungan sesama sendiri pada pusingan 16.

Antara yang meneruskan kemaraan ialah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menepati ramalan dengan menyingkirkan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Sze Fei-Izzuddin hanya memerlukan 27 minit untuk menang straight set 21-14, 21-11 dalam aksi pusingan pertama di Arena SJF Bank.

Pasangan nombor enam dunia itu menguasai permainan dengan cukup baik dan tidak memberikan peluang besar kepada Azriyn-Wee Kiong untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Selepas menang 21-14 pada set pertama, Sze Fei-Izzuddin tampil lebih dominan dalam set berikutnya sebelum mengesahkan kemenangan 21-11.

Namun, cabaran berikutnya membawa cerita berbeza apabila mereka akan berdepan satu lagi pasangan profesional negara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi.

Wei Jie-Ee Yi turut menghasilkan kemenangan straight set pada aksi pembukaan apabila mengatasi pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh, 21-16, 21-15.

Pertembungan itu bermakna salah satu antara Sze Fei-Izzuddin atau Wei Jie-Ee Yi sudah pasti berada di suku akhir.

Situasi sama berlaku pada satu lagi bahagian undian.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu Aaron Tai-Yap Roy King dalam satu lagi pertembungan sesama Malaysia yang cukup dinanti.

Aaron-Soh yang kembali sebagai pasangan tetap melepasi juara bertahan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, manakala Aaron-Roy King menyingkirkan Kang Min Hyuk-Lee Jong Min selepas bangkit dalam tiga set.

Aaron-Roy King hadir ke Denmark dengan keyakinan tinggi selepas baru sahaja menjuarai Terbuka Artik di Finland dalam penampilan sulung mereka sebagai satu pasangan.

Dengan dua aksi sesama negara pada pusingan 16, Malaysia sudah menjamin dua wakil beregu lelaki ke kelompok lapan terbaik tanpa mengira keputusan kedua-dua perlawanan.

Dalam beregu campuran, Chen Tang Jie-Chan Wen Tse turut memberikan satu lagi keputusan positif.

Pasangan sementara itu menewaskan rakan senegara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin, 21-19, 21-16 dan akan berdepan pilihan keenam China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.

Nasib berbeza menimpa kem perseorangan wanita.

Wong Ling Ching memberikan tentangan sengit kepada Riko Gunji tetapi akhirnya tewas 21-19, 11-21, 19-21.

K Letshanaa pula sudah tersingkir lebih awal selepas kalah straight set 5-21, 18-21 kepada Line Christophersen.

Ketika cabaran perseorangan wanita berakhir, beregu lelaki Malaysia kini berada dalam kedudukan lebih cerah dengan dua tempat suku akhir sudah terjamin di Odense.