Kejayaan Malaysia menewaskan Thailand 2-0 dalam final regu berpasukan sepak takraw lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sahaja mencuri perhatian menerusi keputusan perlawanan, malah turut mencetuskan pengakuan terbuka daripada beberapa penyokong Thailand mengenai peningkatan ketara skuad negara.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, sebahagian penyokong Thailand berpendapat Malaysia kini memiliki kelebihan dari segi pembangunan pemain, struktur pertandingan dan persediaan teknikal. Mereka melihat prestasi yang dipamerkan dalam final itu sebagai hasil proses yang dibentuk secara konsisten, bukan kejayaan yang muncul secara tiba-tiba.
Antara pandangan paling jelas datang daripada Noppon Phunwong yang menekankan kepentingan Liga Sepak Takraw (STL) serta penganjuran pertandingan secara berterusan dalam membina tahap kompetitif pemain Malaysia.
“Malaysia berkembang sepanjang masa dengan menganjurkan liga dan pertandingan secara berterusan untuk meningkatkan kekuatan.
“Mereka juga mengambil pemain sepak takraw dari negara kita untuk menyertai pasukan mereka, seolah-olah kita mendapat latihan tambahan secara tidak langsung.
“Pemain sepak takraw lelaki kita sebenarnya hampir seimbang dengan mereka dalam setiap kelompok umur.
“Namun, sistem pembangunan sepak takraw kita masih belum bergerak ke mana-mana. Tiada pertandingan dalaman yang dianjurkan. Kalau keadaan ini berterusan, kita mungkin akan ketinggalan dengan mereka untuk tempoh yang lama,” katanya.
Pandangan itu selari dengan komen Winai yang membandingkan bentuk pertandingan di Thailand dengan liga yang dimiliki Malaysia. Menurutnya, struktur pertandingan yang lebih kukuh memberi ruang kepada pemain untuk terus bersaing dan meningkatkan tahap permainan.
“Thailand masih bermain di kejohanan-kejohanan kecil yang dianjurkan di merata tempat, termasuk di acara atau pesta kuil, manakala Malaysia mempunyai liga sepak takraw yang kuat dan terus berkembang,” katanya.
Patee Ketshanakorn pula menumpukan kepada penggunaan teknologi dalam persediaan pasukan. Dia melihat ketepatan tinggi pemain Malaysia dan kadar kesilapan yang rendah sebagai antara elemen penting dalam prestasi mereka.
“Mereka menggunakan program komputer untuk menganalisis permainan dan kesilapan mereka sangat sedikit. Ketepatan pemain tekong, pengumpan dan perejam juga tinggi serta mereka bermain dengan penuh keyakinan.
“Hanya melihat dengan mata kasar tidak mencukupi. Bagaimana pula dengan peranan ahli psikologi pasukan, adakah ia boleh membantu?” katanya.
Sementara itu, Netitam Cm memberi perhatian kepada peningkatan pertahanan Malaysia, terutama keupayaan menghadang rejaman dan membina serangan balas dari belakang.
“Dalam tempoh satu hingga dua tahun ini, saya perhatikan Malaysia sudah banyak kali berjaya menangani serangan rejaman dengan melakukan hadangan. Namun, apabila mereka melakukan serangan balas dari belakang, kita hampir tidak mampu menyekat serangan mereka.
“Jika kita menyesuaikan teknik rejaman dengan mengubah kekuatan serangan atau mengubah arah rejaman supaya mengelak dan menyilang ke sisi, mungkin ia dapat membantu sedikit,” katanya.
Py Py turut mengakui pertahanan Malaysia semakin kukuh dan berpandangan kemenangan skuad negara memang layak berdasarkan persembahan dalam final. Keseluruhan reaksi itu memperlihatkan penyokong Thailand menilai kekalahan 0-2 tersebut melalui sudut yang lebih luas, merangkumi sistem pembangunan, pertandingan, teknologi, ketepatan permainan dan kekuatan pertahanan.