Ketidakstabilan dominasi dalam beregu wanita dunia memberi keyakinan kepada kem negara bahawa Pearly Tan-M Thinaah mempunyai peluang realistik untuk mencabar pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menilai landskap badminton semasa sebagai terlalu sukar dijangka untuk meletakkan mana-mana pasangan sebagai pilihan mutlak. Keputusan dalam Kejohanan Dunia dan beberapa kejohanan besar, katanya, membuktikan bahawa gelaran tidak lagi tertumpu kepada satu gandingan sahaja.
“Kalau kita lihat dunia badminton sekarang ini, sangat sukar dijangka untuk menentukan siapa pilihan atau bukan. Kalau tengok Kejohanan Dunia dan kejohanan besar, juara sentiasa bertukar.
“Jadi, kita mengharapkan perkara itu berlaku kepada kita. Saya tidak ada sedikit pun keraguan bahawa jika kita berada pada tahap sebenar, kita mampu melakukan sesuatu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), baru-baru ini.
Pandangan itu meletakkan Pearly-Thinaah dalam kedudukan yang terbuka untuk mencipta kejutan, tetapi Rosman menegaskan persiapan perlu dikawal dengan baik sehingga ke fasa akhir. Sebarang kecederaan atau gangguan lain berpotensi menjejaskan kesinambungan latihan dan tahap kesiapsiagaan sebelum temasya bermula.
“Proses itu perlu berjalan lancar. Seperti saya cakap, di penghujung persiapan ini jangan ada kecederaan atau perkara lain yang boleh mengganggu persiapan,” katanya.
Rosman turut menegaskan bahawa potensi Pearly-Thinaah sebagai pencabar pingat bergantung kepada keupayaan mereka mencapai tahap terbaik. Selain aspek teknikal dalam gelanggang, persiapan menyeluruh perlu merangkumi pengurusan emosi, pemulihan dan perkara lain yang dapat membantu pasangan itu mengekalkan prestasi pada tahap tinggi.
“Semua orang tahu kemampuan Pearly-Thinaah. Pada tahap terbaik mereka, saya fikir mereka boleh menjadi pencabar pingat, cakap secara jujur.
“Untuk menjadi yang terbaik, banyak perkara perlu dilakukan, terutama dari segi emosi, pemulihan dan beberapa aspek lain. Ia bukan mustahil, tetapi sudah tentu sukar,” katanya.
Rekod terdahulu menunjukkan Vivian Hoo-Woon Khe Wei memenangi gangsa pada Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan pada 2014. Mereka gagal meneruskan rentak cemerlang untuk mara lebih jauh, tetapi pencapaian itu kekal sebagai rujukan bagi beregu wanita negara di temasya berkenaan.
Di Aichi-Nagoya, Pearly-Thinaah kini mempunyai peluang untuk memperbaiki pencapaian tersebut. Cabaran utama ialah memastikan permainan mereka kekal stabil ketika berdepan tekanan, mengekalkan ketahanan sepanjang perlawanan dan membuat penyesuaian taktikal apabila momentum berubah.
Persaingan dijangka sengit dan keputusan berpotensi berubah mengikut prestasi pada hari pertandingan. Atas sebab itu, Rosman mahu anak buahnya tiba dalam keadaan terbaik dan mampu menterjemahkan persiapan kepada persembahan berkualiti. Dalam badminton moden yang semakin sukar diramal, tiada pasangan boleh dianggap kebal, sekali gus menjadikan peluang Pearly-Thinaah untuk memburu podium terus terbuka.