Datuk Seri Lee Chong Wei menolak tanggapan bahawa keputusan berkaitan skuad dan prestasi pemain dibuat berdasarkan pertimbangan peribadi, sambil menegaskan setiap langkah yang diambilnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah demi kepentingan badan induk itu dan negara.
Chong Wei berkata, beliau menerima hakikat bahawa setiap keputusan dalam kedudukannya akan diperhatikan dan dinilai daripada pelbagai sudut, terutama apabila membabitkan pemain serta kepentingan skuad negara.
Menurut bekas jaguh perseorangan negara itu, usaha untuk memenuhi kehendak semua pihak bukan sesuatu yang mudah kerana setiap keputusan akan sentiasa menerima pandangan berbeza.
“Saya buat keputusan untuk kebaikan negara dan kebaikan BAM. Kita bukan asyik mahu jaga hati orang kerana memang susah. Ada orang tahu badminton dan kata kita buat benda betul, ada yang tidak tahu badminton pula kata kita buat benda salah.
“Kalau saya duduk di tempat ini dan tiada keputusan, orang marah saya juga. Kalau ada keputusan, saya gembira kerana saya tahu saya sudah menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut memberi penjelasan mengenai keputusan tidak menyenaraikan Soh Wooi Yik dalam skuad Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Chong Wei menegaskan perkara itu bukan keputusan peribadinya, sebaliknya dibuat selepas menerima cadangan daripada barisan kejurulatihan beregu yang menilai prestasi serta keadaan pemain.
Proses berkenaan, katanya, membabitkan struktur sedia ada dalam BAM dengan pihak kejurulatihan mengemukakan senarai nama sebelum ia dipertimbangkan dan diluluskan.
“Kita ada jawatankuasa, kita ada jurulatih. Jurulatih yang beri saya senarai nama dan saya luluskan,” katanya.
Penjelasan itu diberikan bagi memperincikan proses pemilihan yang berlaku dan menepis tanggapan bahawa Chong Wei sendiri menentukan Wooi Yik tidak akan dibawa ke temasya berkenaan.
Dalam mengendalikan tanggungjawab berkenaan, Chong Wei turut mengakui beliau berdepan kritikan daripada pengguna media sosial.
Walaupun memilih untuk tidak mengikuti komen yang ditulis mengenai dirinya, beliau berkata terdapat individu yang mengambil tangkap layar dan menunjukkan kandungan berkenaan kepadanya.
Chong Wei tidak menyembunyikan hakikat bahawa sebahagian komen tersebut memberikan kesan terhadap perasaannya.
“Saya serius tidak mahu tengok media sosial. Tetapi ada orang tangkap skrin dan tunjukkan kepada saya. Saya kecil hati, tetapi tidak mengapa. Ini tanggungjawab saya,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mahu kritikan itu mengganggu fokus terhadap tugas yang telah diberikan kepadanya.
Sebaliknya, Chong Wei melihat tekanan dan reaksi daripada pelbagai pihak sebagai sebahagian daripada cabaran yang perlu ditangani ketika berada dalam kedudukan yang menuntut keputusan berkaitan prestasi pemain.
Baginya, seseorang yang diberikan tanggungjawab perlu bersedia membuat keputusan dan menerima reaksi terhadap keputusan tersebut. Pada masa yang sama, proses pemilihan perlu mengambil kira penilaian pihak kejurulatihan yang lebih dekat dengan prestasi dan keadaan pemain.
Chong Wei menegaskan matlamat utamanya kekal untuk membantu memastikan pemain mencapai kejayaan, dengan kepentingan negara dan BAM menjadi asas kepada tanggungjawab yang dilaksanakan.