Koo Kien Keat berpandangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu membuktikan konsistensi dalam tempoh beberapa bulan akan datang sekiranya mahu terus dipertahankan sebagai pasangan dalam perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bekas pemain beregu lelaki negara itu berkata, Aaron-Wooi Yik mempunyai kira-kira sembilan bulan sebelum kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bermula pada Mei tahun depan untuk membuktikan kemampuan mereka.
Justeru, Kien Keat mencadangkan kedua-dua pemain berbincang dengan BAM dan barisan kejurulatihan bagi menetapkan satu tempoh penilaian sekiranya mereka benar-benar mahu kekal bersama.
“Saya rasa mereka sendiri perlu bercakap dengan pihak pengurusan dan jurulatih kerana ini mengenai masa depan mereka. Kalau betul-betul mahu bersama, mungkin boleh berbincang dan beri tempoh enam atau tujuh bulan.
“Kalau dalam tempoh itu mereka dapat beri persembahan terbaik, menang satu atau dua kejuaraan atau berada di ranking nombor satu dunia, mungkin boleh diteruskan. Tetapi kalau tidak, mereka perlu akur dengan keputusan yang dibuat BAM dan barisan kejurulatihan,” katanya.
Isu mengenai masa depan Aaron-Wooi Yik timbul selepas barisan kejurulatihan beregu lelaki kebangsaan diketuai Herry Iman Pierngadi melakukan rombakan sejak bulan lalu dengan beberapa pemain diuji bersama pasangan berbeza.
Namun, pasangan nombor empat dunia itu memberikan respons di gelanggang apabila mara sehingga final Kejohanan Dunia di New Delhi, India sebelum menamatkan saingan sebagai naib juara Ahad lalu.
Susulan pencapaian itu, persoalan mengenai sama ada mereka akan terus dikekalkan bersama kembali menjadi perhatian.
Wooi Yik sebelum ini turut memberi bayangan bahawa dia bersedia mempertimbangkan semua pilihan termasuk bergerak secara profesional sekiranya itu menjadi jalan terbaik untuk memastikan gandingannya bersama Aaron dapat diteruskan dalam usaha memburu pingat emas LA28.
Kien Keat bagaimanapun mengingatkan bahawa satu pencapaian tidak mencukupi untuk menentukan masa depan sesebuah pasangan.
Bekas juara Seluruh England 2007 bersama Tan Boon Heong itu berkata, konsistensi perlu menjadi ukuran utama ketika BAM dan barisan kejurulatihan membuat penilaian.
“Kalau dari sudut pengurusan dan jurulatih, mereka melihat kepada keputusan. Kalau tiada keputusan, mereka mungkin rasa pasangan lain boleh memberikan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut sependapat dengan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei bahawa keputusan mengenai pasangan tidak sepatutnya dibuat berdasarkan satu atau dua kejohanan sahaja.
Pada masa sama, Kien Keat mahu Aaron-Wooi Yik mengambil pendekatan secara profesional dengan berbincang bersama BAM dan tidak membuat keputusan terburu-buru.
“BAM sudah banyak membantu mereka sejak awal sehingga mereka menjadi juara dunia. Jadi saya rasa perkara ini perlu dibincangkan dengan baik dan bukan kerana emosi,” katanya.
Menurut Kien Keat, kemampuan mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi secara konsisten lebih penting dalam menentukan nilai sebenar seseorang pemain atau pasangan.