KUALA LUMPUR: Gandingan Aaron Chia-Tee Kai Wun kekal sebagai pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membawa cabaran beregu lelaki negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, senarai pemain bagi temasya itu sudah dimuktamadkan dan tidak lagi boleh diubah selepas tarikh akhir pendaftaran ditutup pada 1 Julai lalu.
Keputusan berkenaan turut kekal meskipun Aaron bersama pasangan tetapnya, Soh Wooi Yik muncul naib juara dunia di New Delhi, India, kelmarin. Selain Aaron-Kai Wun, pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut disenaraikan untuk menggalas cabaran negara.
“Sekarang kita fokus Sukan Asia. Senarai nama sudah tidak boleh ditukar lagi sebaik tarikh akhir ditutup (1 Julai lalu) jadi Aaron akan bermain dengan Kai Wun untuk Sukan Asia,” kata Herry.
Menurutnya, keutamaan barisan kejurulatihan ketika ini adalah menyediakan persiapan terbaik buat skuad negara sebelum penilaian semula terhadap perancangan beregu lelaki dilakukan selepas temasya berkenaan.
Dalam pada itu, Wooi Yik mengakui terkejut selepas mengetahui namanya tidak berada dalam senarai skuad badminton negara. Dia berkata, keputusan itu hanya diketahuinya pada saat akhir tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu.
Walaupun berdepan perkembangan yang tidak dijangka, Wooi Yik memilih untuk menerima keputusan berkenaan secara profesional. Sebagai pemain senior, dia memahami bahawa setiap pemain mempunyai peluang untuk dipilih mewakili negara.
“Saya pun pada saat akhir baru tahu, tiada perbincangan mengenainya. Namun, saya terima keputusan itu sebagai pemain senior sebab semua orang pun ada peluang untuk main.
“Tidak kisah siapa main pun saya rasa okay. Apa yang penting bagi saya setakat ini saya akan tetap berusaha,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari New Delhi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Wooi Yik turut memberi bayangan bahawa beberapa pertukaran yang berlaku sejak beberapa bulan lalu akan diambil kira sebelum dia menentukan langkah seterusnya. Bagaimanapun, dia belum membuat keputusan dan mahu berbincang dengan jurulatih terlebih dahulu.
“Dalam beberapa bulan ini banyak pertukaran berlaku…jadi seperti saya cakap, saya akan buat keputusan mengenai masa depan.
“Kita akan tengok nanti dan bincang dengan jurulatih,” katanya.
Buat masa ini, Wooi Yik menegaskan bahawa usahanya tidak akan terhenti meskipun tidak terpilih. Tumpuan terhadap latihan, ketahanan fizikal dan konsistensi prestasi kekal penting ketika dia menantikan perbincangan mengenai hala tuju seterusnya.
Aaron-Wooi Yik sebelum ini menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen negara dalam acara badminton pada Sukan Asia Hangzhou 2022.