Penampilan terakhir Aaron Tai di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir dengan pingat emas selepas beliau bersama Noraqilah Maisarah Ramdan menjuarai acara beregu campuran pada SUKMA Selangor 2026, hari ini.
Turun sebagai pasangan pilihan utama, wakil Melaka itu mempertahankan gelaran yang turut dimenangi mereka pada SUKMA Sarawak 2024. Aaron-Noraqilah menewaskan pasangan Kelantan, Kang Khai Xing-Chan Wen Tse, 21-18, 21-23, 21-8 dalam aksi final di Pusat Konvensyen Setia City.
Pertarungan tersebut berlangsung sengit apabila Aaron-Noraqilah gagal menamatkan perlawanan dalam dua set. Selepas menguasai set pembukaan 21-18, mereka kehilangan set kedua 21-23 sebelum kembali memperkemas permainan untuk mendominasi set penentuan dengan kemenangan 21-8.
Bagi Aaron, kejayaan mempertahankan emas itu mempunyai nilai tersendiri kerana menjadi pencapaian terakhirnya dalam temasya berkenaan. Beliau juga perlu mengendalikan tekanan berdepan pemain yang cukup dikenali, termasuk Kang Khai Xing yang merupakan gandingannya dalam acara beregu lelaki.
“Saya rasa gembira sebab boleh menang pingat ini untuk Melaka, negeri kita. Tambahan pula, ini SUKMA terakhir saya, jadi memang manis dapat tutup dengan emas.
“Bagi saya, pertemuan dengan Kang Khai Xing memang rasa tidak biasa sebab sebelum ini kami selalu bermain bersama, tetapi kali ini dia jadi lawan dan kami hanya anggap ia sebagai pertandingan untuk negeri masing-masing,” katanya selepas perlawanan, hari ini.
Walaupun berdepan situasi luar kebiasaan, Aaron menjelaskan bahawa perlawanan berkenaan tetap dilihat sebagai persaingan antara atlet yang membawa cabaran negeri masing-masing. Pendekatan itu membolehkan kedua-dua pihak memberikan komitmen penuh sepanjang tiga set.
Noraqilah pula menyifatkan emas tersebut sebagai hadiah kepada gandingan mereka. Ini merupakan penampilan kedua pasangan berkenaan bersama-sama di SUKMA dan kejayaan mempertahankan gelaran dicapai selepas mereka berjaya mengatasi cabaran keadaan angin.
“Kiranya kemenangan ini bolehlah dianggap sebagai hadiah buat gandingan kami, lebih-lebih lagi ini SUKMA terakhir Aaron.
“Dalam perlawanan ini juga, sewaktu set kedua itu, angin kuat dan jangkaan kita menjadi sedikit terganggu sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah,” katanya.
Tan Zhi Yang-Nicole Tan Pei En dari Pulau Pinang membawa pulang pingat gangsa acara beregu campuran.
Wilayah Persekutuan pula menguasai final beregu lelaki apabila Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen mengatasi pasangan senegeri, Damien Ling Tang Le-Ethan Oh Joon Hui, 21-16, 21-12 untuk memenangi emas. Toh E Hern-Wee Ye Tern dari Johor meraih gangsa.
Dalam beregu wanita, pasangan kebangsaan dari Perak, Chong Jie Yu-Vannee Gobi mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Leong Hwee Ling-Teh Xin Ying, 15-21, 22-20, 21-8. Pingat gangsa menjadi milik pasangan negara, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yi.