sukan

Tragedi sadis landa Iran di Piala Dunia 2026

Iran menamatkan kempen Piala Dunia 2026 dengan rasa kecewa apabila impian untuk mara ke pusingan 32 terbaik berkubur hanya disebabkan perbezaan jaringan, meskipun mereka tidak tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan. Lebih menyakitkan, harapan skuad kendalian Amir Ghalenoei untuk meneruskan cabaran lenyap menerusi dua detik dramatik yang berlaku pada penghujung dua perlawanan berasingan dalam tempoh kurang 24 jam.

Perjalanan Iran sepanjang kejohanan sebenarnya cukup mencabar sejak sebelum sepak mula Piala Dunia lagi. Pasukan itu berdepan pelbagai kekangan yang menjejaskan persiapan mereka, namun tetap mempamerkan semangat juang tinggi sehingga berjaya meletakkan diri dalam kedudukan terbaik untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati. Walaupun segala usaha telah diterjemahkan di atas padang, keputusan akhir tetap tidak memihak kepada mereka.

Selepas mengikat New Zealand dan Belgium dalam dua aksi terdahulu, Iran memasuki perlawanan terakhir kumpulan menentang Mesir dengan mengetahui hanya kemenangan mampu membawa mereka ke pusingan 32 terbaik. Misi itu bagaimanapun tidak bermula seperti dirancang apabila mereka terlebih dahulu ketinggalan sebelum berjaya bangkit semula.

Iran memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, namun Mehdi Taremi gagal menyempurnakan peluang tersebut. Walaupun begitu, kegagalan itu tidak mematahkan semangat pasukan apabila Ramin Rezaeian kemudian berjaya meledak gol penyamaan untuk menghidupkan kembali peluang Iran dalam perlawanan berkenaan.

Keputusan 1-1 berlarutan sehingga memasuki masa kecederaan babak kedua. Ketika perlawanan seakan-akan menuju keputusan seri, Shoja Khalilzadeh berjaya menolak masuk bola hasil situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol lawan. Seluruh kem Iran meraikan jaringan itu dengan penuh emosi kerana percaya kemenangan yang dicari akhirnya berjaya diperoleh.

Khalilzadeh turut menanggalkan jersinya ketika meraikan jaringan tersebut sehingga menerima kad kuning, sebelum bergambar sambil memakai cermin mata hitam bersama rakan sepasukan. Suasana penuh kegembiraan itu bagaimanapun hanya bertahan seketika apabila pengadil melakukan semakan terhadap jaringan berkenaan.

Selepas penelitian dibuat, gol tersebut dibatalkan kerana Khalilzadeh didapati berada dalam kedudukan ofsaid. Hujung kakinya dilaporkan sedikit melepasi pertahanan terakhir lawan ketika jaringan dihasilkan. Keputusan itu mengubah segala-galanya apabila Iran terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1, sekali gus menyebabkan peluang mereka untuk mara tidak lagi berada di tangan sendiri.

Selepas wisel penamat dibunyikan di Seattle, perhatian Iran beralih kepada satu lagi perlawanan yang melibatkan Algeria dan Austria. Mereka memerlukan kemenangan mana-mana pasukan dalam aksi tersebut bagi memastikan laluan ke pusingan 32 terbaik terbuka.

Ketika perlawanan itu menghampiri penghujung dengan keputusan seri 2-2, Iran berada di ambang penyingkiran. Namun keadaan berubah secara dramatik apabila Riyad Mahrez menjaringkan gol pada minit ke-93 untuk memberikan Algeria kelebihan. Gol itu sekali lagi menghidupkan harapan Iran yang ketika itu hampir pasti mara ke pusingan kalah mati.

Namun, seperti yang berlaku dalam perlawanan mereka sendiri, drama terus tercipta sehingga detik terakhir. Austria enggan mengalah dan terus melancarkan serangan sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Sasa Kalajdzic beberapa saat sebelum wisel penamat. Jaringan itu memadamkan semula peluang Iran dan menutup terus harapan mereka untuk layak.

Buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam, Iran kehilangan peluang pada saat-saat akhir. Keputusan tersebut akhirnya menyaksikan Senegal memperoleh slot terakhir sebagai pasukan tempat ketiga terbaik hasil kelebihan perbezaan jaringan. Cape Verde pula mengesahkan kemaraan sebagai naib juara Kumpulan H selepas seri dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan.

Walaupun gagal melepasi saingan kumpulan, prestasi Iran tetap dianggap membanggakan memandangkan pasukan itu berdepan pelbagai cabaran luar biasa sepanjang kempen Piala Dunia 2026. Mereka hadir ke kejohanan ketika negara berkenaan masih dibayangi konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel, sekali gus memberi kesan kepada aspek persiapan serta perjalanan pasukan.

Sebelum kejohanan bermula, pusat latihan Iran dipindahkan dari Arizona ke Tijuana, Mexico. Selain itu, mereka turut berdepan pelbagai sekatan perjalanan yang menyebabkan jadual pasukan menjadi lebih sukar berbanding pasukan lain.

Iran hanya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat sehari sebelum dua aksi pertama mereka dan diwajibkan meninggalkan negara itu pada hari sama selepas tamat perlawanan mengikut syarat visa. Bagi aksi terakhir di Seattle, sekatan tersebut dilonggarkan apabila mereka dibenarkan tiba dua hari lebih awal, namun masih perlu kembali ke Tijuana sejurus perlawanan selesai.

Situasi itu menyebabkan Ghalenoei menyifatkan pasukannya sebagai “pasukan paling tertindas” sepanjang kejohanan. Beliau berkata pasukannya telah “dirompak” daripada tempoh persiapan kerana hanya diberikan kurang separuh masa latihan yang diperlukan, sedangkan pasukan lain menikmati persiapan seperti biasa.

Selepas tersingkir, Ghalenoei tetap mempertahankan anak buahnya dan memuji komitmen yang dipamerkan sepanjang kejohanan.

“Kepada semua pemain, saya mahu katakan saya bangga dengan mereka.

“Apa yang dilakukan pemain-pemain muda ini wajar tercatat dalam sejarah kerana negara tuan rumah melayan kami dengan tidak adil.

“Walaupun berdepan semua masalah ini, kami masih mampu beraksi dengan baik dan seluruh dunia berbangga dengan rakyat Iran serta pasukan kami.

“Saya merayu kepada FIFA supaya tidak membenarkan tuan rumah melayan pemain dan pasukan seperti ini pada Piala Dunia akan datang,” katanya.