China mengekalkan status sebagai kuasa besar badminton dunia apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Thomas 2026 selepas menewaskan Perancis 3-1 dalam aksi final yang berlangsung di Forum Horsens, awal pagi tadi. Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan keunggulan China, malah menyaksikan mereka meraih gelaran ke-12 dalam sejarah kejohanan berpasukan paling berprestij itu.
Dalam suasana penuh tekanan di pentas final, pemain beregu lelaki China, He Ji Ting, menzahirkan penghargaan tinggi terhadap ketua pasukan, Shi Yu Qi, yang dianggap sebagai pemangkin utama kejayaan pasukan. Menurut Ji Ting, semangat juang tinggi yang ditunjukkan Yu Qi walaupun tidak berada dalam kondisi fizikal terbaik menjadi faktor penting yang menyatukan seluruh pasukan.
“Yu Qi berdepan cabaran yang amat besar. Dengan keadaan fizikalnya, dia mengalami gastroenteritis dan tidak sihat selain berada di bawah tekanan tinggi, tetapi dia tetap berjuang hingga ke akhir.
“Sebagai anggota pasukan dan ketua, dia memainkan peranan penting sebagai penstabil pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Yu Qi membuka laluan kemenangan buat China dalam perlawanan pertama dengan menundukkan pemain nombor empat dunia dari Perancis, Christo Popov. Pertarungan yang berlangsung selama 85 minit itu menyaksikan Yu Qi bangkit dengan ketahanan mental yang luar biasa sebelum mencatat kemenangan 21-16, 16-21, 21-17. Kejayaan tersebut memberi kelebihan awal kepada China, selain mengangkat moral rakan sepasukan dalam menghadapi tekanan final.
Perancis bagaimanapun tidak mudah menyerah. Perseorangan kedua mereka, Alex Lanier, mempamerkan aksi yang cukup kemas dan tersusun untuk menyamakan kedudukan. Pemain nombor 10 dunia itu menewaskan Li Shi Feng dengan keputusan 21-13, 21-10 dalam tempoh 43 minit, sekali gus menghidupkan kembali harapan pasukan Eropah itu.
Momentum perlawanan terus berubah apabila kedua-dua pasukan saling menekan dalam perlawanan ketiga. Weng Hong Yang, yang turun sebagai perseorangan ketiga China, menampilkan aksi penuh disiplin dan ketahanan fizikal untuk menundukkan Toma Junior Popov. Perlawanan selama 96 minit itu menyaksikan pertarungan sengit hingga ke mata akhir sebelum Weng mencatat kemenangan 22-20, 20-22, 21-19.
Kemenangan tersebut meletakkan China di hadapan semula dan membuka ruang kepada beregu lelaki mereka untuk menamatkan saingan. Dalam situasi yang menuntut ketenangan serta ketepatan strategi, He Ji Ting bersama Ren Xiang Yu tampil dengan permainan yang lebih konsisten dan terancang.
Mereka mengawal tempo permainan dengan baik, selain memanfaatkan kesilapan lawan untuk menundukkan pasangan Perancis, Eloi Adam dan Leo Rossi, 21-13, 21-16. Kejayaan itu memastikan kemenangan keseluruhan 3-1 buat China dan sekali gus mengesahkan kejuaraan Piala Thomas 2026.
Ji Ting turut memuji keupayaan rakan sepasukan yang berjaya mengekalkan fokus sepanjang perlawanan walaupun berdepan tekanan tinggi. Menurutnya, disiplin taktikal dan keyakinan menjadi elemen penting dalam memastikan kemenangan berpihak kepada China.
Di pihak Perancis, kekalahan tersebut tetap dilihat sebagai pencapaian besar. Toma Junior Popov menyifatkan pengalaman beraksi di final sebagai sesuatu yang luar biasa walaupun gagal meraih kejuaraan.
“Benar-benar menakjubkan. Pasukan bangga dengan pencapaian ini. Kami berjuang dan mungkin layak mendapat lebih daripada itu, tetapi kami menunjukkan semangat juang hebat di gelanggang. Ia memang gila,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekalahan itu akan menjadi pemangkin kepada pasukan Perancis untuk terus meningkatkan prestasi pada masa akan datang dalam usaha memburu kejuaraan Piala Thomas.