sukan

Apa Sudah jadi dengan Fei-Din

BEKAS legenda beregu lelaki negara, Datuk Cheah Soon Kit, percaya bahawa Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memiliki kekuatan mental serta semangat juang tinggi untuk terus kekal kompetitif sebagai pasangan nombor satu dunia. Soon Kit menegaskan kemerosotan prestasi yang dialami pasangan beregu profesional tersebut sejak menduduki ranking teratas dunia pada penghujung Mei lalu perlu dilihat sebagai fasa pembelajaran penting bagi mana-mana pemain elit.

Menurut Soon Kit, tekanan yang dihadapi Sze Fei-Nur Izzuddin tidak boleh dipandang ringan kerana status nombor satu dunia datang dengan beban harapan yang lebih besar daripada peminat dan pemerhati sukan.

“Mungkin kerana mereka tiba-tiba jadi nombor satu dunia, jadi tekanan dan harapan orang ramai pun meningkat,” katanya yang pernah membimbing gandingan itu pada peringkat awal kemunculan mereka dalam skuad kebangsaan, kira-kira sembilan tahun lalu.

Sejak berjaya meletakkan diri sebagai beregu lelaki nombor satu dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin berdepan cabaran besar apabila tersingkir di peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut, iaitu Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Dalam usaha untuk mengembalikan rentak dan momentum kemenangan, Sze Fei-Nur Izzuddin dijadualkan bakal menyertai dua kejohanan utama selepas ini iaitu Terbuka Jepun yang berlangsung dari 15 hingga 20 Julai, serta Terbuka China pada 22 hingga 27 Julai. Kedua-dua kejohanan ini menjadi medan penentu menjelang Kejohanan Dunia di Paris pada 25 hingga 31 Ogos nanti.

Soon Kit yang pernah mengesan potensi gandingan ini sejak awal lagi turut berkongsi keyakinannya bahawa rehat singkat yang diambil pasangan ini mampu membantu mereka memperkukuh kembali kestabilan mental dan emosi.

“Orang ramai harapkan mereka masuk final atau menang setiap kejohanan. Tapi diharap rehat seketika ini dapat bantu mereka reset dari segi emosi dan mental, kemudian bangkit semula,” katanya.

Beliau turut memuji Izzuddin yang disifatkan sebagai tunjang kekuatan Fei-Din dengan komitmen dan disiplin tinggi ketika beraksi di gelanggang. Soon Kit juga mendedahkan bahawa kekuatan serangan Izzuddin adalah antara faktor utama beliau melihat potensi besar dalam pemain tersebut.

“Izzuddin memang komited dan rajin. Dia ada kekuatan serangan yang bagus — itu antara sebab saya nampak potensi besar padanya,” katanya lagi.

Pasangan yang dikenali dengan julukan Fei-Din ini juga pernah berpisah seketika pada tahun 2023, namun kembali bergabung dan kini menjadi antara beregu paling lama bertahan dalam dunia badminton. Ketahanan mental dan keutuhan semangat juang menjadi kunci utama kejayaan mereka untuk bertahan pada tahap tertinggi.

“Mereka kini lebih matang dan stabil. Apa yang penting, mereka perlu terus menyokong antara satu sama lain.

“Jangan banyak fikir. mereka sudah berada di puncak, jadi fokus untuk kekal kuat daripada segi mental,” katanya.

Bagi Soon Kit, aspek paling sukar yang perlu diuruskan oleh pasangan nombor satu dunia adalah mengawal tekanan yang semakin hebat seiring peningkatan status mereka di persada badminton antarabangsa.

“Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kalah. Itu lumrah sukan. Tapi kita mesti tahu hadapi tekanan, sama ada dari orang luar atau diri sendiri. Yang penting cita-cita dalam diri mesti kekal menyala,” jelas Soon Kit.

Beliau turut mengingatkan bahawa semangat yang tinggi dan daya juang yang konsisten adalah penentu sejauh mana pasangan ini mampu mempertahankan kedudukan nombor satu dunia.

“Semangat itu paling utama. Mereka mesti kekalkan semangat juang. Bila dah jadi nombor satu dunia, semua orang akan kaji dan buru anda. Jadi komitmen mereka perlu kekal tinggi,” kata Soon Kit.