sukan

TERKINI :Wei Chong-Kai Wun pemer aksi memukau di Terbuka Hong Kong

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun memulakan kempen Terbuka Hong Kong 2026 dengan persembahan meyakinkan apabila menewaskan pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, hari ini.

Pasangan pilihan kelapan kejohanan itu hanya memerlukan 25 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-10, 21-14 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Gelanggang 2, Kai Tak Arena.

Keputusan tersebut membolehkan Wei Chong-Kai Wun mengesahkan tempat ke pusingan 16 kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 berkenaan.

Lebih menarik, kemenangan itu hadir hanya seminggu selepas mereka turut menewaskan pasangan Thailand yang sama pada Masters Jepun di Kumamoto.

Bagaimanapun, pertemuan kali ini berlangsung jauh lebih singkat berbanding aksi di Jepun yang menyaksikan pasangan negara terpaksa mengharungi pertarungan tiga set.

Pada Masters Jepun, Wei Chong-Kai Wun memerlukan 56 minit sebelum mencatat kemenangan 21-18, 21-23, 21-13 ke atas Peeratchai-Pakkapon.

Sebaliknya, dalam aksi di Hong Kong hari ini, pasangan negara tidak memberikan banyak ruang kepada lawan apabila menamatkan set pembukaan dengan kemenangan 21-10.

Kelebihan tersebut diteruskan pada set kedua apabila Wei Chong-Kai Wun mencatat keputusan 21-14 untuk memastikan kemenangan tanpa perlu mengharungi set penentuan.

Kejayaan berkenaan turut menyaksikan pasangan Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga pertemuan menentang gandingan Thailand tersebut.

Kemenangan pantas itu memberikan perkembangan positif kepada Wei Chong-Kai Wun yang hadir ke Hong Kong sebagai juara Terbuka Perancis 2026.

Pada kejohanan di Paris bulan lalu, mereka mencipta kejayaan membanggakan selepas menewaskan pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, pada perlawanan akhir.

Kejayaan tersebut menjadi gelaran pertama Wei Chong-Kai Wun bagi musim 2026, sekali gus menamatkan penantian panjang Malaysia untuk kembali menjuarai kategori beregu lelaki Terbuka Perancis.

Mereka kemudian meneruskan prestasi positif dengan mara ke separuh akhir Terbuka Korea sebelum tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Bagaimanapun, perjalanan mereka pada Masters Jepun minggu lalu berakhir di pusingan 16 selepas menerima kekalahan kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark.

Keputusan di Hong Kong hari ini memberikan peluang kepada Wei Chong-Kai Wun untuk kembali memburu pencapaian lebih baik dalam kejohanan terakhir mereka bagi musim ini.

Pasangan ranking kesembilan dunia itu kini akan memberikan tumpuan kepada cabaran pusingan 16 dalam usaha melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Kemenangan dalam tempoh hanya 25 minit menjadi permulaan positif buat gandingan negara yang berusaha mengekalkan momentum selepas beberapa pencapaian memberangsangkan sepanjang kempen penghujung musim.