sukan

TERKINI: Tangan kanan Hafizuddin terpaksa dipotong

Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin berdepan ujian besar selepas tangan kanannya terpaksa dipotong pada paras atas siku susulan kecederaan serius akibat kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), malam Isnin lalu.

Perkembangan itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat selepas atlet yang mesra disapa Udin itu selesai menjalani pembedahan selama lebih tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.

Menurut Ayub, pasukan perubatan pada awalnya berusaha menyelamatkan tangan kanan Hafizuddin, namun keadaan kecederaan yang dialami memerlukan tindakan lanjut bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawanya.

Keputusan melakukan pemotongan tangan pada paras atas siku dibuat berdasarkan penilaian dan saranan doktor yang merawat atlet berkenaan.

Hafizuddin sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ketika melalui Lebuhraya SUKE dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam pada 16 November itu menyebabkan atlet kelahiran Perlis berkenaan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Majlis Sukan Negeri Perlis sebelum ini memaklumkan bahawa pemeriksaan awal mendapati Hafizuddin mengalami patah tulang tangan kanan serta komplikasi serius membabitkan salur darah di bahagian tersebut.

Keadaan itu menyebabkan pihak perubatan memberikan keutamaan kepada pembedahan selepas menilai tahap kecederaan yang dialami.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan jaminan bahawa kebajikan dan proses pemulihan Hafizuddin akan terus diberikan perhatian.

MSN turut memaklumkan bahawa wakil pengurusan sukan telah hadir ke HKL bagi mendapatkan perkembangan mengenai keadaan atlet Program Podium tersebut.

Sementara itu, keluarga Hafizuddin yang berada di hospital meminta orang ramai memberikan ruang dan menghormati privasi mereka sepanjang tempoh rawatan.

Pihak keluarga turut menyerahkan urusan penyampaian maklumat kepada pihak yang bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran perkara yang belum disahkan.

Hafizuddin merupakan antara atlet angkat berat negara yang mencatat pencapaian membanggakan pada musim ini.

Pada Julai lalu, beliau berjaya meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Kejayaan itu turut menyaksikan Hafizuddin mencatat angkatan 162 kilogram dalam acara snatch dan 183 kilogram bagi clean and jerk.

Prestasi tersebut membolehkan beliau mencipta rekod baharu serta menghadiahkan pingat emas keempat Malaysia pada temasya berkenaan.

Bagaimanapun, perhatian kini terarah kepada proses rawatan dan pemulihan Hafizuddin selepas pembedahan yang dilaluinya.

PABM dan badan sukan negara turut menyeru masyarakat memberikan sokongan moral serta menghormati ruang peribadi atlet dan keluarganya dalam menghadapi keadaan tersebut.