sukan

Aaron-Wooi Yik dibenarkan turun beraksi

Bekas pemain beregu lelaki negara, Chan Chong Ming mengingatkan Soh Wooi Yik supaya lebih berhati-hati apabila kembali bergandingan bersama Aaron Chia pada kejohanan Kumamoto Masters di Jepun yang bermula esok.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2001 di Sevilla, Sepanyol itu berpandangan bahawa pengurusan kecederaan tumit kanan perlu menjadi keutamaan Wooi Yik bagi mengelakkan masalah sama berulang ketika pasangan utama negara itu berusaha mendapatkan semula momentum permainan.

Menurut Chong Ming, keputusan untuk kembali menyertai pertandingan merupakan perkembangan positif, namun pemain berusia 28 tahun itu perlu memastikan tahap kecergasannya benar-benar mencukupi untuk menghadapi persaingan di pentas antarabangsa.

“Saya rasa paling penting perlu lihat tahap kecederaan ia serius atau sebaliknya, saya rasa mereka sudah boleh beraksi di Jepun jadi kecederaan sudah pulih.

“Dia perlu berjaga-jaga dengan kecederaan dia semula, cari rentak semula secepat mungkin di Jepun.

“Saya rasa bukan masalah besar buat mereka kerana sudah berpengalaman,” katanya.

Kenyataan itu hadir selepas Aaron-Wooi Yik mendapat kebenaran daripada barisan kejurulatihan negara untuk kembali beraksi pada Kumamoto Masters, yang berlangsung dari 10 hingga 15 November.

Sebelum ini, penyertaan pasangan ranking keempat dunia itu menimbulkan keraguan apabila Wooi Yik masih menjalani proses pemulihan susulan kecederaan tumit yang dialami ketika Terbuka Perancis pada Oktober lalu.

Masalah tersebut menyebabkan mereka terpaksa menarik diri ketika perlawanan suku akhir menentang Man Wei Chong-Tee Kai Wun, sebelum tidak menyertai Terbuka Hylo di Jerman dan Terbuka Korea.

Bagaimanapun, perkembangan positif dilaporkan selepas Wooi Yik menjalani rawatan dan rehabilitasi serta kembali mengikuti latihan di Akademi Badminton Malaysia.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi sebelum ini menjelaskan bahawa kecederaan tersebut tidak berada pada tahap serius dan bengkak pada tumit pemain berkenaan semakin berkurangan.

Namun, Herry turut mengakui Wooi Yik masih belum mencapai tahap kecergasan 100 peratus, sekali gus menjadikan pengurusan beban perlawanan sebagai perkara yang perlu diberikan perhatian.

Di Kumamoto Masters, Aaron-Wooi Yik turun selaku pilihan ketiga dan dijadualkan berdepan pasangan India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun, pada pusingan pertama.

Sekiranya berjaya melepasi halangan pembukaan, pasangan negara berpotensi bertemu bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, pada pusingan kedua.

Laluan tersebut dijangka memberikan cabaran kepada Aaron-Wooi Yik yang baru kembali selepas berehat daripada dua kejohanan berturut-turut.

Dalam masa sama, setiap kemenangan amat penting bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam perlumbaan kelayakan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, pada Disember depan.

Berdasarkan ranking kelayakan yang dilaporkan minggu lalu, pasangan negara berada di tangga keenam dengan 65,740 mata, namun kelebihan mereka terhadap beberapa pencabar terdekat masih kecil.

Situasi itu menyebabkan Aaron-Wooi Yik perlu mendapatkan keputusan positif pada Kumamoto Masters dan Terbuka Hong Kong untuk meningkatkan peluang mengekalkan kedudukan dalam kelompok kelayakan.

Bagaimanapun, Chong Ming percaya pengalaman luas yang dimiliki kedua-dua pemain mampu membantu mereka menyesuaikan diri semula selepas tempoh rehat.

Bagi bekas pemain kebangsaan itu, perkara terpenting bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya memastikan Wooi Yik dapat kembali bersaing tanpa mengundang risiko kecederaan berulang.