Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor, memberikan tentangan sengit sehingga menyebabkan hidung Yoshinari Nadaka patah sebelum akhirnya tewas menerusi KO pada pusingan kedua dalam saingan ONE Samurai 4 di Ariake Arena, Tokyo, hari ini.
Rifdean yang berasal dari Sarawak turun berdepan juara dunia ONE Atomweight Muay Thai itu dalam keadaan kurang ideal selepas gagal melepasi ujian hidrasi sehari sebelum pertarungan.
Walaupun berjaya memenuhi had berat asal 115 paun atau 52.16 kilogram, kegagalan ujian hidrasi menyebabkan Rifdean hilang kelayakan untuk merebut tali pinggang dunia daripada Nadaka.
Pertarungan bagaimanapun diteruskan pada catchweight 118.6 paun atau 53.8kg selepas persetujuan dicapai, dengan Rifdean turut perlu menyerahkan 50 peratus wang pertarungannya kepada Nadaka.
Situasi itu tidak menghalang wakil Malaysia daripada tampil agresif sejak pusingan pertama.
Rifdean berani membawa pertarungan kepada juara Jepun itu dan beberapa serangannya berjaya menghasilkan kesan.
Malah, Nadaka sendiri mendedahkan selepas pertarungan bahawa hidungnya patah akibat serangan Rifdean pada pusingan pembukaan.
“Untuk pertarungan ini, saya mengalami kecederaan. Pada pusingan pertama, hidung saya patah,” kata Nadaka dalam temu bual selepas pertarungan.
Namun, Nadaka tetap berjaya menghasilkan satu jatuhan terhadap Rifdean menerusi tumbukan kiri pada pusingan pertama.
Rifdean bangkit semula dan berjaya bertahan sehingga loceng penamat pusingan berbunyi.
Memasuki pusingan kedua, petarung negara terus mencari ruang untuk menyerang dan cuba memberikan tekanan.
Namun, ketika Rifdean melakukan gerakan memusingkan badan, Nadaka berjaya membaca percubaan tersebut.
Juara Jepun itu segera menghasilkan serangan balas menerusi tendangan ke kepala yang tepat mengenai bahagian dagu Rifdean.
Rifdean rebah dan gagal bangkit semula sebelum kiraan tamat, menyebabkan pengadil Olivier Coste menghentikan pertarungan pada minit 2:12 pusingan kedua.
Walaupun menang, Nadaka memberikan penghormatan kepada Rifdean dan mengakui lawannya melalui pelbagai kesukaran sebelum memasuki gelanggang.
“Semua, sila berikan tepukan gemuruh untuk Rifdean juga,” katanya.
Kemenangan itu turut memberikan Nadaka bonus prestasi berjumlah 15 juta yen atau kira-kira RM388,000, bonus pertama diterimanya sepanjang bersama ONE Championship.
“Ini bonus pertama saya. Saya sangat gembira kerana kami mendapat sokongan daripada anda semua,” katanya.
Bagi Rifdean, kekalahan tersebut menamatkan hasrat untuk mencipta kejutan di Tokyo, namun kemampuan memberikan tekanan sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang juara dunia tetap menunjukkan dia mampu bersaing pada tahap tinggi.
Kekecewaan Malaysia dalam ONE Samurai 4 turut berterusan apabila Hayatun Najihin “Shadowcat” Radzuan tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada wakil Jepun, Itsuki Hirata, dalam pertarungan MMA wanita kategori atomweight.