sukan

TERKINI : Rifdean terlepas gelaran juara dunia ONE Championship

Peluang Rifdean Masdor untuk bergelar juara dunia ONE Atomweight Muay Thai terlepas sebelum sempat memasuki gelanggang selepas petarung negara itu gagal memenuhi syarat timbang berat dan ujian hidrasi menjelang ONE Samurai 4 di Tokyo, esok.

Rifdean sepatutnya mencabar juara bertahan dari Jepun, Nadaka Yoshinari, dalam perebutan tali pinggang dunia.

Namun, kegagalan melepasi syarat rasmi pertandingan menyebabkan dia tidak lagi layak memenangi gelaran tersebut.

Walaupun begitu, kemungkinan pertarungan masih belum tertutup sepenuhnya.

Rifdean perlu terlebih dahulu mengemukakan sampel baharu yang membuktikan tahap hidrasi mencukupi.

Selepas itu, kedua-dua kem boleh berbincang mengenai kemungkinan pertarungan diteruskan pada catchweight atau had berat yang dipersetujui bersama.

Namun, persetujuan daripada pihak Nadaka tetap diperlukan sebelum pertarungan boleh berlangsung dalam keadaan tersebut.

ONE Championship mengesahkan perkara berkenaan melalui media sosial rasminya.

“Rifdean Masdor gagal memenuhi syarat berat badan dan tahap hidrasi menjelang pertarungan merebut Gelaran Dunia menentang Nadaka di ONE SAMURAI 4.

“Dia kini perlu menyerahkan sampel yang menunjukkan tahap hidrasi yang mencukupi sebelum boleh berunding untuk mengadakan perlawanan dengan had berat yang dipersetujui bersama (catchweight) menentang Nadaka.

“Rifdean tidak lagi layak untuk memenangi Gelaran Dunia Muay Thai ONE kategori Atomweight. Nantikan perkembangan terkini di saluran media sosial kami!” kongsinya.

Perkembangan itu pastinya mengecewakan buat Rifdean yang mendapat peluang besar mencabar Nadaka di hadapan penyokong tuan rumah.

Namun, aspek berat badan dan hidrasi merupakan antara syarat wajib yang perlu dipatuhi sebelum sesuatu pertarungan boleh diteruskan secara rasmi.

Dengan status perebutan gelaran kini terbatal untuk Rifdean, sebarang pertarungan yang diteruskan secara catchweight tidak lagi memberikan peluang kepadanya untuk membawa pulang tali pinggang dunia.

Sebaliknya, pertarungan itu hanya boleh diteruskan sebagai perlawanan biasa berdasarkan had berat yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Bagi Nadaka, situasi tersebut mengekalkan statusnya sebagai juara bertahan.

Kini, perhatian tertumpu kepada keputusan ujian hidrasi terbaru Rifdean dan sama ada pihak Nadaka bersetuju untuk meneruskan perlawanan.

ONE Championship dijangka mengumumkan perkembangan lanjut selepas proses tersebut selesai.