Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung kes pemalsuan dokumen sekali lagi mencetuskan gegaran besar dalam landskap bola sepak negara apabila hukuman yang dikenakan sebelum ini oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kekal berkuat kuasa.
Pengumuman yang dibuat semalam itu hadir selepas kira-kira seminggu tempoh penantian sejak rayuan berkenaan dibicarakan, sekali gus menamatkan harapan FAM untuk mengetepikan keputusan badan induk bola sepak dunia tersebut.
Apa yang pasti keputusan itu tidak akan menutup fail kes berkenaan, malah seperti laporan Media Sukan sebelum ini bahawa ‘bala besar’ dijangka akan menimpa bola sepak negara sekiranya rayuan di CAS tidak memihak kepada FAM.
Dengan keputusan CAS yang tidak memihak kepada badan pentadbir bola sepak negara, kes berkenaan kini memasuki fasa baharu yang berpotensi memberi kesan lebih besar terhadap perjalanan skuad kebangsaan dalam pentas antarabangsa.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa kes tersebut akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika badan induk bola sepak Asia berkenaan bagi tindakan lanjut susulan keputusan dibuat oleh CAS.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, AFC memaklumkan bahawa mereka mengambil maklum mengenai keputusan CAS berkaitan FAM dan beberapa pemain yang didapati melanggar Kod Disiplin FIFA.
“AFC mengambil maklum mengenai keputusan dibuat oleh CAS pada 5 Mac 2026 berhubung FAM dan beberapa pemain berkaitan pelanggaran Kod Disiplin FIFA.
“Perkara ini kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC,” menurut kenyataan badan itu.
Keputusan tersebut secara tidak langsung membuka kemungkinan kepada tindakan tambahan yang boleh dikenakan terhadap bola sepak Malaysia, terutama melibatkan rekod perlawanan kompetitif skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Berdasarkan rekod hukuman yang pernah dikenakan FIFA sebelum ini, terdapat kebimbangan bahawa dua kemenangan penting Harimau Malaya dalam kempen Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 berpotensi dibatalkan.
Dua kemenangan yang dimaksudkan ialah kejayaan menewaskan Nepal 2-0 dan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam, perlawanan yang sebelum ini menjadi sandaran penting kepada aspirasi skuad kebangsaan untuk menempah tiket ke pusingan akhir kejohanan itu.
Situasi tersebut bukan sesuatu yang asing dalam konteks tindakan disiplin bola sepak antarabangsa kerana FIFA sebelum ini sudah mengambil langkah drastik dengan membatalkan beberapa keputusan perlawanan melibatkan skuad negara.
Pada Disember lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan untuk membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan antarabangsa yang membabitkan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.
Dalam ketiga-tiga perlawanan itu, skuad negara diisytiharkan kalah dengan jaringan 3-0 selepas didapati menggunakan pemain yang tidak layak beraksi.
Keputusan tersebut menjadi rujukan penting kerana ia menunjukkan pendekatan tegas badan pentadbir bola sepak dunia terhadap sebarang pelanggaran berkaitan kelayakan pemain.
Sekiranya pendekatan sama diguna pakai oleh AFC dalam menilai kes melibatkan perlawanan kelayakan Piala Asia 2027, keputusan kemenangan Malaysia ke atas Nepal dan Vietnam berkemungkinan besar turut menerima nasib serupa.
Jika dua kemenangan itu dibatalkan dan kemenangan 3-0 diberikan kepada Nepal serta Vietnam, kesannya akan menjadi sangat besar kepada kedudukan Malaysia dalam Kumpulan F.
Implikasi tersebut bukan sahaja menjejaskan kedudukan mata skuad kebangsaan dalam kumpulan, malah boleh memadamkan terus peluang Harimau Malaya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung di Arab Saudi.
Dalam senario sedemikian, baki perlawanan kumpulan menentang Vietnam di Stadium Thien Truong pada 31 Mac depan juga berpotensi kehilangan nilai kompetitifnya.
Perlawanan tersebut yang sebelum ini dianggap sebagai aksi penting dalam menentukan kedudukan kumpulan mungkin hanya menjadi perlawanan pelengkap jadual sekiranya keputusan AFC memihak kepada pembatalan kemenangan Malaysia sebelum ini.
Situasi ini sekali gus menambah tekanan kepada kem negara yang ketika ini dikendalikan oleh jurulatih Peter Cklamovski, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan berkaitan keputusan disiplin yang bakal dibuat oleh AFC.
Perkembangan kes ini turut mengingatkan pemerhati bola sepak Asia kepada insiden yang pernah melibatkan Timor Leste beberapa tahun lalu.
Ketika itu, Konfederasi Bolasepak Asia menggantung Timor Leste daripada menyertai saingan Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste, Amandio de Araujo, didapati memalsukan dokumen berkaitan kewarganegaraan pemain.
Kes tersebut menjadi contoh jelas bagaimana pelanggaran berkaitan kelayakan pemain boleh membawa implikasi besar terhadap penyertaan sesebuah negara dalam kejohanan antarabangsa.
Namun begitu, buat masa ini AFC masih belum mengumumkan sebarang keputusan rasmi berhubung bentuk tindakan disiplin yang bakal dikenakan terhadap FAM.
Segala kemungkinan masih terbuka sementara Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC meneliti kes tersebut berdasarkan keputusan yang telah dibuat oleh CAS.
Bagi peminat bola sepak tanah air, tempoh menunggu keputusan rasmi daripada badan induk bola sepak Asia itu kini menjadi detik penuh debaran.
Keputusan yang bakal diumumkan bukan sahaja akan menentukan masa depan kempen kelayakan Piala Asia 2027 buat Harimau Malaya, malah turut memberi kesan besar terhadap reputasi bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sehingga keputusan rasmi dibuat, seluruh komuniti bola sepak negara kini hanya mampu menunggu dengan penuh perhatian terhadap perkembangan seterusnya dalam kes yang terus menjadi tumpuan utama arena sukan tanah air ini.