sukan

TERKINI: Tujuh pemain Warisan Harimau Malaya disarankan berehat

Bekas penyerang sensasi negara, Safee Sali menggesa agar tujuh pemain Harimau Malaya tidak disenaraikan dalam perlawanan menentang Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Hanoi, 31 Mac ini, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko lebih besar terhadap kedudukan pasukan kebangsaan.

Safee yang pernah menjulang Kasut Emas Piala AFF 2010 menegaskan, walaupun ketujuh-tujuh pemain terbabit kini dibenarkan beraksi bersama kelab masing-masing susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Januari lalu, situasi berkenaan masih belum benar-benar muktamad dan perlu ditangani dengan penuh berhati-hati.

CAS sebelum ini memberikan Penangguhan Pelaksanaan atau Stay of Execution terhadap hukuman penggantungan 12 bulan yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September tahun lalu. Keputusan itu membolehkan pemain-pemain berkenaan kembali turun beraksi di pentas domestik sementara menunggu keputusan rayuan penuh.

Namun, Safee berpandangan pendekatan berwaspada wajar diutamakan memandangkan keputusan akhir rayuan masih belum diumumkan dan implikasinya boleh memberi kesan besar kepada kempen kelayakan negara.

“Untuk mengambil langkah selamat dengan keadaan yang masa sekarang ini, ini pendapat saya. Saya rasa mereka (tujuh pemain) perlu berehat seketika. Itu pendapat saya. Tapi mungkin pendapat pengurusan yang lain, saya tak pasti. Ya, kena mengambil risiko kalau ya (mahu turunkan tujuh pemain).

“Kalau rasa itu berbaloi dengan apa yang ingin dipertaruhkan, saya rasa perlu dipertanggungjawabkan,” katanya ketika ditemui media pada majlis jalinan kerjasama strategik antara AMG Undrgrnd bersama Super Safee Soccer School, di samping aktiviti gotong royong dan agihan bubur lambuk, baru-baru ini.

Tujuh pemain yang dimaksudkan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Mereka sebelum ini berdepan hukuman penggantungan 12 bulan oleh FIFA, namun diberikan talian hayat sementara oleh CAS melalui keputusan penangguhan pelaksanaan.

Walaupun dibenarkan kembali bersama kelab, pendengaran penuh kes berkaitan isu pemalsuan dokumen di CAS telah berlangsung pada Khamis lalu. Keputusan muktamad dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan ia bakal menentukan hala tuju ketujuh-tujuh tonggak berkenaan dalam skuad kebangsaan.

Sekiranya CAS membatalkan hukuman dan mendapati mereka tidak bersalah, maka tiada halangan untuk mereka kembali menyarung jersi Harimau Malaya pada aksi penting di Hanoi. Namun, sekiranya keputusan CAS mengekalkan hukuman asal FIFA, Malaysia bukan sahaja terpaksa beraksi tanpa mereka, malah berdepan implikasi lebih besar.

Risiko paling membimbangkan ialah kemungkinan pemotongan mata jika skuad negara tetap menurunkan pemain terbabit ketika menentang Vietnam dan juga Nepal. Dalam saingan Kumpulan F yang sengit, sebarang potongan mata boleh menggugat kedudukan Malaysia di tangga teratas.

Hanya juara kumpulan akan layak ke Arab Saudi pada 2027, menjadikan setiap mata yang diraih amat bernilai. Justeru, sebarang keputusan melibatkan risiko disiplin dan peraturan perlu ditimbang dengan teliti oleh pengurusan serta barisan kejurulatihan.

Dalam konteks persaingan yang ketat, pendekatan taktikal dan pemilihan pemain bukan sekadar soal kemampuan di atas padang, tetapi juga melibatkan pertimbangan perundangan dan risiko pentadbiran. Safee melihat isu ini bukan semata-mata soal kualiti pemain, tetapi kesan jangka panjang terhadap misi negara.

Beliau tidak menafikan bahawa ketujuh-tujuh pemain tersebut mempunyai peranan signifikan dalam memperkukuh struktur pasukan, terutama dalam menghadapi tekanan beraksi di gelanggang lawan seperti di Hanoi. Namun, ketidakpastian status mereka boleh mencetuskan risiko lebih berat berbanding manfaat jangka pendek.

Dalam situasi kelayakan yang memerlukan konsistensi prestasi dan kestabilan skuad, keputusan yang dibuat perlu berlandaskan pertimbangan menyeluruh, termasuk aspek undang-undang sukan antarabangsa. Kejelasan keputusan CAS bakal menjadi penentu sama ada Malaysia boleh memanfaatkan sepenuhnya khidmat mereka atau perlu merombak strategi.

Apa yang pasti, perlawanan menentang Vietnam pada 31 Mac ini menjadi antara aksi paling penting dalam kempen Kumpulan F. Keputusan di Hanoi bukan sahaja menentukan momentum awal, malah boleh mempengaruhi hala tuju keseluruhan kempen ke Piala Asia 2027.

Safee sekadar melontarkan pandangan berdasarkan pengalaman luasnya dalam arena antarabangsa. Namun keputusan akhir tetap terletak di tangan pengurusan dan barisan kejurulatihan yang perlu menilai antara risiko dan ganjaran dalam usaha memastikan Harimau Malaya kekal berada di landasan terbaik ke Arab Saudi.