Kekecewaan penyokong Selangor FC jelas tidak dapat disembunyikan selepas keputusan seri tanpa jaringan menentang Melaka FC pada Sabtu lalu, dengan sebahagian besar peminat mempersoalkan pendekatan permainan beberapa pemain yang didakwa terlalu mementingkan diri ketika berada di zon serangan.
Perlawanan yang sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk meraih tiga mata berharga itu berakhir tanpa sebarang gol, sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan penyokong mengenai tahap disiplin taktikal dan keutamaan pasukan di atas padang.
Tumpuan kritikan terarah kepada ketua pasukan, Faisal Halim, yang dilihat kerap melakukan percubaan sukar ke arah gawang lawan walaupun berada dalam situasi yang membolehkan hantaran lebih efektif dilakukan kepada rakan sepasukan. Dalam konteks perlawanan yang memerlukan kesabaran serta pemilihan keputusan tepat di kawasan akhir, tindakan tersebut dianggap tidak selari dengan keperluan permainan berpasukan.
Mohd Fared Kandar antara yang lantang meluahkan rasa tidak puas hati di laman sosial dengan menyatakan, “Nombor 7 (Faisal) nak buktikan apa? Dah memang tak ada ruang nak mencuba juga, masih tak nak hantar pada rakan juga.
“Perlawanan ini paling teruk. Korang gaduh berebut roti john ke berbuka tadi?”
Nada sama turut dikongsi Izad Wahid yang melihat keputusan percubaan demi percubaan tanpa ketepatan sebagai punca kegagalan pasukan memecah kebuntuan. “Boleh buat hantaran tapi nak juga rembat. Kalau tepat ke sasaran tak mengapa, ini habis semua tak tepat. Ya kami bukan pemain profesional, tapi benda ini permainan 11 orang bukan untuk seorang pemain,” tulisnya.
Reaksi keras ini memperlihatkan tahap ekspektasi tinggi penyokong terhadap skuad Red Giants, khususnya dalam perlawanan yang dianggap mampu dimenangi. Dalam saingan liga yang kompetitif, setiap mata membawa implikasi besar terhadap kedudukan keseluruhan, dan keputusan seri tanpa jaringan dilihat sebagai peluang terlepas.
Sebahagian penyokong turut mengaitkan keputusan tersebut dengan misi lebih besar Selangor FC untuk menamatkan musim di tangga kedua Liga Super. Kedudukan naib juara bukan sekadar simbol prestij, malah menjadi laluan penting ke pentas Liga Juara-Juara Asia II musim depan.
Amy dalam komennya menyifatkan sikap tamak sebagai faktor yang merugikan pasukan. “Benda boleh menang tapi sendiri cari penyakit dengan sikap tamak pemain. Merugikan pasukan. Lupakan jelah ACL II tahun depan.
“2026 ini cuma dapat nombor 3 atau 4 saja lah. SFC tolong pesan kepada pemain terutama FH7 (Faisal) jangan bajet bintang. Jangan tamak nak naikkan nama sendiri,” katanya.
Kritikan sedemikian mencerminkan kebimbangan penyokong terhadap hala tuju pasukan pada fasa penting musim ini. Dalam baki enam perlawanan liga yang tinggal, Selangor FC perlu memastikan konsistensi prestasi serta kecekapan penyudah untuk terus berada dalam landasan memburu tempat kedua.
Secara matematik, skuad Red Giants masih memiliki peluang cerah untuk menamatkan kempen sebagai naib juara di belakang Johor Darul Ta’zim. Namun syaratnya jelas – kemenangan dalam baki enam aksi menjadi keperluan mutlak bagi memastikan kedudukan tersebut tidak tergugat.
Dalam suasana tekanan yang semakin memuncak, disiplin taktikal dan keutamaan kolektif menjadi elemen kritikal. Liga Super bukan sekadar ujian kemahiran individu, sebaliknya medan yang menuntut keseimbangan antara kreativiti dan kesedaran pasukan.
Keputusan seri tanpa jaringan menentang Melaka FC menjadi peringatan bahawa dominasi penguasaan bola atau percubaan semata-mata tidak memadai tanpa ketepatan dan kerjasama berpasukan. Penyokong yang setia menuntut peningkatan segera, khususnya dalam aspek pemilihan keputusan di kawasan akhir.
Dengan baki perlawanan yang semakin berkurang, setiap aksi bakal menjadi penentu kepada nasib Selangor FC dalam memburu kedudukan kedua. Fokus, disiplin dan keberkesanan serangan perlu dipertingkat sekiranya pasukan mahu memastikan impian beraksi di pentas ACL II musim depan kekal realistik.