sukan

Bala besar selepas keputusan CAS

Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan membabitkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kini menjadi tumpuan utama landskap bola sepak negara, namun kebimbangan sebenar mungkin terletak pada tindakan susulan yang bakal diumumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia.

Kes pemalsuan dokumen yang mengaitkan Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel kini memasuki fasa penentuan selepas pendengaran rayuan mereka di Mahkamah Timbang Tara Sukan berlangsung hari ini. Walaupun keputusan CAS menjadi penanda aras utama, implikasinya terhadap FAM dijangka jauh lebih besar berbanding fokus awal terhadap status individu pemain.

Sebelum ini, AFC memaklumkan bahawa badan induk Asia itu akan menunggu keputusan CAS sebelum mengambil sebarang ketetapan terhadap FAM, khususnya membabitkan dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 apabila Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0 dengan menggunakan pemain warisan terbabit. Keputusan itu bukan sahaja menyentuh soal kelayakan pemain, malah memberi kesan langsung terhadap kedudukan mata dalam kempen kelayakan.

Dalam perkembangan terdahulu, FIFA telah membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin. Malaysia turut diberikan kekalahan 3-0 dalam perlawanan berkenaan selepas didapati menggunakan pemain yang tidak layak. Tindakan tersebut memperlihatkan ketegasan badan dunia itu terhadap isu pematuhan peraturan pendaftaran dan kelayakan pemain.

Sekiranya keputusan CAS tidak memihak kepada tujuh pemain terbabit, AFC dijangka mengambil pendekatan selari dengan FIFA. Hukuman sama berkemungkinan dikenakan terhadap keputusan kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus membuka ruang kepada Nepal dan Vietnam untuk diberikan kemenangan 3-0. Jika situasi itu berlaku, Harimau Malaya berisiko kehilangan enam mata penting dalam saingan kumpulan.

Penganalisis bola sepak tempatan, Zakaria Rahim, melihat senario tersebut sebagai risiko terbesar yang perlu diberi perhatian. Menurutnya, AFC mungkin sudah mempunyai pendirian tersendiri dan hanya menunggu keputusan rasmi daripada CAS sebelum mengumumkan tindakan susulan.

“AFC mungkin sudah ada keputusan, tunggu masa nak umumkan sahaja selepas keputusan CAS. Andai kata keputusan di CAS nanti dikurangkan hukuman, bermakna masih bersalah (berkaitan kes pemalsuan dokumen).

“Jadi, sebenarnya, kita tidak risau sangat keputusan CAS, paling merisaukan adalah mengenai tindakan FIFA dan AFC susulan daripada keputusan CAS itu nanti. AFC dilihat akan ikut ‘bapa’ dia (FIFA), dan jika Nepal dan Vietnam diberi kemenangan 3-0 ke ke atas Malaysia, skuad Harimau Malaya hilang enam mata.

“Situasi itu menyebabkan kita sudah boleh lupakan Piala Asia 2027 sebelum berdepan Vietnam sekali lagi bulan depan. Selain itu, terdapat kemungkinan juga FIFA akan gantung FAM susulan daripada kes berkenaan.

“Seandainya digantung, ia pasti akan merosakkan ekosistem bola sepak negara secara keseluruhan. Namun, sekiranya tidak digantung, kita patut bersyukur. Jadi, tindakan susulan FIFA dan AFC itu yang sepatutnya kita kena risaukan atau gerun, dan kita raikan jika ia positif,” katanya.

Kenyataan itu memperlihatkan bahawa risiko kehilangan mata bukan satu-satunya ancaman. Kemungkinan penggantungan terhadap FAM turut dibangkitkan sebagai senario paling berat yang boleh menjejaskan struktur pentadbiran dan operasi bola sepak negara secara menyeluruh.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John sebelum ini dilaporkan mendakwa FIFA mungkin tidak akan menggantung FAM susulan langkah pemulihan terhadap pentadbiran badan induk itu termasuk peletakan jawatan oleh semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif. Perkembangan tersebut memberi sedikit kelegaan, namun belum cukup untuk meredakan kegusaran komuniti bola sepak tempatan.

Zakaria turut menegaskan bahawa apa sahaja keputusan yang diumumkan CAS kelak, kesan terhadap reputasi tetap sukar dipulihkan dalam masa singkat. Menurutnya, bola sepak Malaysia kini berdepan defisit kepercayaan di mata komuniti sukan serantau dan antarabangsa.

“Apa saja keputusan daripada CAS, defisit kepercayaan tetap ada dan ia akan berada di fikiran semua orang, sama seperti dihadapi Timor Leste. Mereka pernah kena hukuman kerana isu pemalsuan dokumen pemain dan sampai hari ini kes mereka jadi rujukan.

“Begitu juga dengan kes Malaysia, pada masa hadapan nanti akan jadi rujukan oleh persatuan lain yang kena tindakan seperti itu dan FIFA nak bertindak pun akan rujuk kes terdahulu seperti kes Malaysia, Timor Leste dan sebagainya,” katanya.

Pandangan itu menggambarkan bahawa isu ini bukan sekadar soal keputusan teknikal, sebaliknya menyentuh kredibiliti dan integriti pentadbiran. Dalam konteks persaingan kelayakan Piala Asia 2027, kehilangan mata atau sekatan tambahan berpotensi mengubah sepenuhnya trajektori kempen Harimau Malaya.

Tumpuan kini bukan sahaja terarah kepada dewan pendengaran CAS, tetapi juga kepada pejabat AFC dan FIFA yang bakal menentukan hala tuju seterusnya. Dalam tempoh menunggu ini, seluruh ekosistem bola sepak negara berada dalam keadaan berjaga-jaga, menanti keputusan yang bukan sekadar memberi kesan kepada satu pasukan, malah kepada imej keseluruhan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.