Johor Darul Ta’zim bakal mengharungi cabaran getir pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit apabila dijadualkan bertemu wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima, dalam aksi dua perlawanan pada 3 Mac di Stadium Sultan Ibrahim sebelum timbal balik di Hiroshima pada 10 Mac.
Undian fasa kalah mati itu menyaksikan juara 11 kali Liga Super berdepan lawan yang bukan asing buat mereka selepas menamatkan saingan Zon Timur di tangga keenam daripada 12 pasukan dengan kutipan 11 mata keseluruhan. Kedudukan tersebut meletakkan skuad Harimau Selatan dalam kelompok lapan terbaik yang layak secara automatik ke pusingan seterusnya berdasarkan format pertandingan.
Mengikut mekanisme penentuan lawan, pasukan tangga pertama Zon Timur, FC Machida Zelvia akan bertemu Gangwon FC yang berada di kedudukan kelapan. Tempat kedua, Vissel Kobe pula diundi menentang FC Seoul yang menghuni tangga ketujuh. Buriram United dari Thailand yang menamatkan saingan di kedudukan keempat bakal berdepan Melbourne City FC yang berada di tangga kelima, manakala Sanfrecce Hiroshima dipertemukan dengan JDT.
Pertemuan ini mengulangi aksi yang berlangsung dua minggu lalu di Hiroshima apabila anak buah Xisco Munoz tewas tipis 1-2. Kekalahan itu bagaimanapun tidak terlepas daripada insiden kad merah yang dilayangkan kepada Jonathan Silva pada minit ke-16 selepas beliau menghalang bola menggunakan tangan di depan pintu gol. Bermain dengan 10 pemain sepanjang tempoh panjang perlawanan jelas memberi kesan terhadap struktur taktikal dan kestabilan pertahanan JDT.
Sebahagian pemerhati berpendapat keputusan tersebut mungkin berbeza sekiranya JDT beraksi dengan 11 pemain hingga wisel penamat. Namun, dalam saingan peringkat tertinggi Asia, disiplin permainan dan pengurusan situasi tekanan menjadi faktor pemisah antara kemenangan dan kekalahan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Hussin menyifatkan pertembungan ini sebagai ujian sebenar buat skuad kendalian Xisco Munoz. Menurutnya, JDT tidak boleh memandang mudah lawan dari Jepun meskipun majoriti pemain Sanfrecce Hiroshima terdiri daripada pemain tempatan.
“Ini perlawanan kalah mati pusingan ke-16 apabila diundi bertemu pasukan Jepun, pastinya pasukan JDT tidak boleh mengambil mudah apabila menentang pasukan dari Jepun.
“Walaupun rata-rata pemain mereka banyak adalah pemain tempatan tapi mereka punyai kualiti individu yang baik. Tapi saya melihat pula pada ketika ini, pasukan JDT mempunyai satu pasukan seimbang di semua posisi untuk memberi saingan terbaik.
“Paling penting adalah apabila perlawanan pertama nanti bermain di tempat sendiri, kita harap dapat menggunakan segala kesempatan dengan baik, mengurangkan kesilapan bagi mendapatkan bekalan yang baik untuk bawa bekalan ke perlawanan kedua.
“Tapi saya yakin dengan semangat ditunjukkan pasukan JDT ketika menentang Vissel Kobe tempoh hari, kalau dapat kekalkan barisan hadapan lebih tajam kita mampu untuk mencapai satu keputusan yang baik di pusingan 16 nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Kemenangan 1-0 ke atas Vissel Kobe sebelum ini membuktikan kemampuan JDT menyaingi kelab Jepun apabila struktur permainan lebih tersusun dan disiplin bertahan diterjemahkan secara konsisten sepanjang 90 minit. Aspek kecekapan menyudahkan peluang serta ketajaman di sepertiga akhir akan menjadi penentu sama ada JDT mampu membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua di tempat lawan.
Sulaiman yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur menegaskan bahawa saingan kalah mati menuntut kesiapsiagaan mental dan fizikal yang lebih tinggi. “Pastinya bukan satu perkara mudah tapi saya yakin pada kali ini pasukan JDT sudah belajar banyak dari kejohanan ACL ini dapat mencapai satu keputusan yang baik dan kejutan ke atas pasukan Jepun ini,” katanya.
Musim lalu, perjalanan JDT terhenti di pusingan 16 selepas tewas kepada Buriram United. Justeru, pertemuan kali ini membawa dimensi berbeza kerana ia membuka peluang untuk mencipta sejarah dengan mara ke suku akhir buat kali pertama di pentas tertinggi Asia.
Bermain di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi pertama memberi kelebihan psikologi dan taktikal kepada Harimau Selatan. Namun, kelebihan itu hanya bermakna sekiranya dimanfaatkan dengan disiplin tinggi, kawalan tempo permainan yang stabil serta keupayaan meminimumkan kesilapan individu.
Secara keseluruhan, undian ini meletakkan JDT dalam laluan mencabar tetapi realistik. Keputusan perlawanan pertama akan menjadi asas penting sebelum mengharungi tekanan di Hiroshima. Dengan pengalaman yang dikumpul sepanjang kempen ini, JDT kini berada di persimpangan penting untuk menentukan sama ada mereka mampu melangkah lebih jauh berbanding musim lalu.