Nama Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir kembali menjadi tumpuan selepas dikaitkan dengan laporan mengenai aduan terhadap status tujuh pemain naturalisasi Malaysia yang dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Dakwaan itu mengaitkan beliau sebagai individu utama yang memainkan peranan dalam menggerakkan proses aduan tersebut, sekali gus mencetuskan polemik baharu membabitkan dua negara jiran serantau.
Menurut sumber daripada Amerika Latin yang berada dalam FIFA dan dipetik sebuah media tempatan, tindakan itu didakwa digerakkan secara tidak langsung oleh kepimpinan tertinggi PSSI. Perkara berkenaan timbul sebagai respons kepada laporan terdahulu bahawa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menamakan Vietnam sebagai pihak yang mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA.
Sumber berkenaan mendakwa, meskipun Vietnam membuat aduan rasmi, dokumen yang digunakan dalam proses tersebut disalurkan melalui individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Erick Thohir. “Dia (Erick Thohir) suruh dan hantar orang buat aduan sambil cari dan hantar dokumen kepada orang dalam FIFA secara indirect. Vietnam buat complain, tetapi dokumen adalah dari orang upahan Erick Thohir,” katanya.
Erick Thohir yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) Indonesia sebelum ini pernah menafikan dirinya sebagai dalang dalam isu berkenaan. Namun pendedahan terbaharu itu membuka ruang spekulasi mengenai peranan sebenar beliau di sebalik aduan terhadap kelayakan pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya.
Walaupun AFC menyatakan Vietnam sebagai pihak yang mengemukakan aduan rasmi, sumber tersebut menjelaskan bahawa secara de facto, inisiatif sebenar dipercayai datang daripada pucuk pimpinan PSSI. Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai motif tindakan tersebut, lebih-lebih lagi ketika prestasi skuad kebangsaan Malaysia menunjukkan peningkatan yang ketara dalam pentas antarabangsa.
Kegusaran terhadap lonjakan prestasi Harimau Malaya yang dilihat melangkaui kemampuan pasukan Indonesia dipercayai menjadi antara faktor utama di sebalik tindakan menggerakkan aduan tersebut. Dalam konteks persaingan serantau yang semakin kompetitif, sebarang isu berkaitan kelayakan pemain berpotensi memberi kesan besar kepada kestabilan persiapan pasukan.
Sumber sama turut mendakwa bahawa Erick Thohir kurang senang dengan penglibatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam industri bola sepak Malaysia. Dakwaan itu turut disertai tuduhan bahawa beberapa media milik beliau serta portal berita di Indonesia digunakan untuk menyiarkan kandungan negatif terhadap pasukan Harimau Malaya.
Isu tersebut muncul ketika skuad kebangsaan Malaysia sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan kejohanan antarabangsa. Gangguan luar padang yang tercetus akibat polemik ini dilihat cuba mengheret pasukan negara ke dalam perbahasan pentadbiran, sekali gus mengalihkan fokus daripada aspek teknikal dan taktikal yang menjadi keutamaan dalam persiapan kompetitif.
Pemerhati sukan berpendapat, sekiranya benar aduan itu didalangi oleh kepimpinan tertinggi PSSI, ia memberi gambaran kurang sihat terhadap semangat kesukanan serantau. Hubungan dua negara jiran yang berkongsi sejarah panjang persaingan bola sepak memerlukan pendekatan profesional dan berteraskan prinsip tadbir urus yang telus.
Untuk rekod, Erick Thohir bukan figura asing dalam kontroversi pentadbiran bola sepak Indonesia. Sebelum ini, beliau pernah dikaitkan dengan isu tadbir urus apabila memegang dua jawatan penting serentak dalam PSSI. Tindakannya memegang jawatan Presiden PSSI dan pada masa sama mengetuai Jawatankuasa Pengadil pernah mencetuskan teguran.
Langkah itu dipersoalkan susulan garis panduan FIFA yang tidak membenarkan pemimpin tertinggi persatuan memegang pelbagai jawatan berkaitan pengadilan. Erick Thohir pernah disarankan melepaskan salah satu jawatan bagi mengelakkan konflik kepentingan, namun beliau mempertahankan pendiriannya dengan alasan mahu memantau sendiri proses pembaharuan sistem pengadilan bola sepak Indonesia.
Pendekatan tersebut menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang melihatnya sebagai pemusatan kuasa dalam satu individu. Isu ketelusan dan akauntabiliti turut menjadi perhatian dalam perbincangan awam berkaitan struktur pentadbiran PSSI ketika itu.
Pada Oktober tahun lalu, beliau sekali lagi mencetuskan polemik apabila mempertikaikan pemilihan pengadil oleh FIFA dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026. Beliau mempersoalkan pelantikan pengadil dari negara Arab ketika skuad Indonesia berdepan Arab Saudi selepas tewas 2-3 kepada Arab Saudi pada aksi pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026, sebelum dijadualkan menentang Iraq.
Kenyataan terbuka itu menimbulkan reaksi berbelah bahagi dalam kalangan pemerhati sukan yang melihatnya sebagai tekanan terbuka terhadap sistem pengadilan antarabangsa. Kini, dakwaan penglibatan beliau dalam aduan terhadap status pemain naturalisasi Malaysia mengundang tanda tanya sama ada pendekatan konfrontasi menjadi strategi berterusan di bawah kepimpinan PSSI ketika ini.
Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Erick Thohir mahupun PSSI berhubung dakwaan tersebut. Namun rentetan kontroversi yang dikaitkan dengan namanya terus menguatkan persepsi bahawa beliau memainkan peranan signifikan dalam percaturan di belakang tabir bola sepak rantau ini.