Masih menunggu jawapan FeiDin , Zii Jia

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini menunggu pengesahan daripada perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia serta gandingan beregu utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berhubung penyertaan mereka dalam kem latihan berpusat skuad kebangsaan menjelang Piala Thomas 2026 yang bermula 24 April depan.

Perkembangan itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei yang memaklumkan jemputan rasmi telah dihantar kepada pemain berstatus profesional berkenaan termasuk Aidil Sholeh Ali Sadikin. Kesemua mereka dipelawa menyertai kem latihan selama 10 hari yang dijadualkan berlangsung selepas Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 berakhir pada 12 April ini.

Menurut Chong Wei, pemilihan pemain akan dibuat berdasarkan prestasi semasa dan tahap kecergasan terbaik bagi memastikan Malaysia memiliki kombinasi paling kompetitif untuk menghadapi cabaran di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei. Sasaran yang ditetapkan jelas iaitu menamatkan penantian 34 tahun untuk kembali merangkul gelaran yang kali terakhir dimenangi pada 1992 di Kuala Lumpur.

“Kita akan pilih pemain yang berada dalam pada tahap terbaik untuk persiapan kali ini. Sejak Disember tahun lalu, saya dan barisan kejurulatihan sudah berbincang untuk membuat persiapan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan Penaung BAM yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Chong Wei menegaskan bahawa kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas memerlukan pendekatan berbeza berbanding kejohanan individu. Tekanan, strategi dan ketahanan mental perlu diselaraskan dalam satu struktur pasukan yang kukuh.

“Ini acara berpasukan, jadi kita perlu bersama-sama. Ia bukan individu, tetapi pasukan yang bermain untuk negara,” tegasnya.

Tambah beliau, keputusan untuk mengadakan kem latihan 10 hari sebelum kejohanan adalah sebahagian daripada strategi teknikal bagi memastikan pemain menyesuaikan diri dengan faktor luaran termasuk perbezaan zon masa, keadaan gelanggang dan cuaca.

“Kita pergi awal sebab ‘jet lag’, tempat dan cuaca. Saya rasa pergi sana 10 hari sangat bagus untuk mengekalkan fokus. Tiada gangguan berbanding di Kuala Lumpur,” katanya.

Pendekatan itu dianggap penting dalam memastikan pemain berada pada tahap fokus optimum, khususnya ketika memasuki fasa terakhir persiapan yang menuntut disiplin tinggi dan keseragaman taktikal. Dalam kejohanan berpasukan, setiap mata membawa implikasi besar terhadap momentum keseluruhan pasukan.

Sementara itu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan sasaran kejuaraan Piala Thomas 2026 selari dengan pelan jangka panjang Tangkis 2030 yang dirangka badan induk itu.

“Sasaran dalam mana-mana sukan, kita mesti berani menyasarkan yang tinggi. Jika tidak mencapainya, tidak mengapa, tetapi kita mesti beri yang terbaik,” katanya.

Beliau menekankan bahawa penetapan sasaran tinggi bukan sekadar retorik, sebaliknya satu komitmen organisasi untuk memastikan struktur latihan, perancangan teknikal dan sokongan pentadbiran bergerak dalam hala tuju yang jelas.

Dengan baki tempoh kurang dua bulan sebelum saingan bermula, perhatian kini terarah kepada keputusan pemain profesional sama ada bersedia menyahut jemputan tersebut. Penyertaan mereka bakal memperkukuh struktur pasukan, terutama dalam membentuk barisan perseorangan dan beregu yang seimbang dari sudut pengalaman dan kestabilan prestasi.

Kem latihan berpusat dijangka memberi penekanan kepada keserasian kombinasi pemain, adaptasi strategi perlawanan serta pengurusan keletihan susulan jadual padat selepas BAC 2026. Elemen pemulihan fizikal dan ketahanan mental turut menjadi aspek kritikal dalam memastikan skuad negara mampu bersaing secara konsisten sepanjang kejohanan berlangsung.

Malaysia meletakkan harapan besar untuk mengembalikan kegemilangan Piala Thomas, namun seperti ditegaskan kepimpinan BAM, setiap langkah persiapan perlu dilaksanakan secara terancang dan berfokus. Penyertaan pemain profesional dalam kem latihan bakal menjadi indikator penting terhadap tahap kesatuan dan komitmen pasukan menjelang misi besar di Denmark.