sukan

Chong Wei dedah punca Pearly-Thinaah tewas mengejut

Kekalahan mengejut beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026 mendapat perhatian serius kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dengan laporan awal berhubung perlawanan tersebut sudah berada di tangan Jawatankuasa Prestasi.

Pengerusinya, Datuk Seri Lee Chong Wei, memaklumkan bahawa beliau sudah meneliti maklumat awal berkaitan kekalahan pasangan ranking kedua dunia itu, yang tersingkir selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam perlawanan tiga set yang sengit.

Menurut legenda perseorangan lelaki negara itu, beliau turut sempat bertemu Pearly-Thinaah selepas perlawanan berkenaan, bagi mendapatkan gambaran awal mengenai faktor yang mempengaruhi prestasi mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Dalam pertemuan itu, Pearly-Thinaah mengakui tekanan beraksi di hadapan penyokong tempatan memberi kesan kepada permainan mereka, terutama dari aspek mental dan ketenangan ketika detik kritikal perlawanan.

Lee Chong Wei bagaimanapun menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang lazim dalam dunia sukan berprestasi tinggi, khususnya apabila atlet beraksi di kejohanan utama di negara sendiri.

“Memang bukan semua pemain boleh bermain dengan baik di gelanggang sendiri. Ada yang boleh, ada yang tidak. Tetapi bermain di laman sendiri sebenarnya satu kelebihan kerana kita ada ramai penyokong di belakang.

“Saya sendiri kerap bermain di gelanggang sendiri. Kalau tanya saya, memang saya suka, tetapi pada masa sama tetap rasa takut. Perasaan itu sama sahaja,” katanya.

Menurut Chong Wei, tekanan bermain di hadapan penyokong tempatan sering menjadi lebih berat kerana pemain meletakkan harapan tinggi untuk menampilkan prestasi terbaik, bukan sahaja demi negara tetapi juga untuk kepuasan peribadi.

Beliau menjelaskan bahawa tekanan itu boleh memberi kesan langsung kepada aspek teknikal dan fizikal, walaupun kemampuan sebenar pemain tidak berubah.

“Bila bermain di negara sendiri, tekanan itu lebih berat di bahu kita. Apabila tertekan, kemahiran yang biasa dilakukan dengan santai boleh menjadi kaku. Pergerakan nampak lebih perlahan, bukan kerana kemampuan berkurang, tetapi badan merasai tekanan itu.

“Namun saya percaya situasi ini boleh diperbaiki dan kita boleh belajar bagaimana menanganinya dengan lebih baik pada masa depan,” katanya.

Kekalahan Pearly-Thinaah di Terbuka Malaysia 2026 bukan sahaja menamatkan cabaran mereka lebih awal daripada jangkaan, malah turut menjadi peringatan penting mengenai kepentingan pengurusan emosi dan tekanan dalam kejohanan besar, terutamanya apabila status dan ranking tinggi membawa harapan besar daripada peminat.

Sebagai antara sandaran utama badminton wanita negara, Pearly-Thinaah sering menjadi tumpuan setiap kali turun beraksi di kejohanan utama, sekali gus menjadikan setiap perlawanan di laman sendiri lebih mencabar dari sudut psikologi.

Dalam masa terdekat, pasangan negara itu dijadual meneruskan kempen mereka di Terbuka India, sebuah kejohanan berstatus Super 750 yang membuka tirainya esok.

Pada pusingan pertama, Pearly-Thinaah akan berdepan beregu tuan rumah, Kavipriya Selvam-Simran Singhi, dalam satu lagi ujian penting untuk mengukur kemampuan mereka bangkit selepas kekecewaan di Kuala Lumpur.

Lee Chong Wei berharap Pearly-Thinaah mampu menukar pengalaman pahit di Terbuka Malaysia kepada pengajaran berguna, khususnya dalam aspek mental dan pengurusan tekanan perlawanan.

Menurut beliau, kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan seorang atlet elit dan cara menghadapinya akan menentukan perkembangan prestasi jangka panjang.

“Apabila gagal, saya tahu mereka rasa kecewa dan sebagai bekas atlet, saya faham perasaan itu. Saya cuma beritahu mereka, kalau mahu menangis atau marah, lepaskan sekarang.

“Esok adalah hari baharu. Kita fokus kepada kejohanan akan datang. Kita kalah satu perlawanan, tetapi yang penting kita tahu puncanya dan jangan ulangi kesilapan sama,” katanya.

Pendekatan tersebut, jelas Chong Wei, penting untuk memastikan pemain tidak terus terperangkap dengan kekecewaan, sebaliknya mampu kembali fokus kepada proses latihan, penambahbaikan taktikal dan konsistensi prestasi dalam kejohanan seterusnya.

Beliau turut percaya bahawa Pearly-Thinaah mempunyai keupayaan dan kematangan yang mencukupi untuk bangkit, selaras dengan status mereka sebagai antara beregu wanita terbaik dunia ketika ini.