Jaguh perseorangan wanita Korea Selatan, An Se Young, terus membuktikan statusnya sebagai pemain terbaik dunia apabila merangkul gelaran ketiga berturut-turut Terbuka Malaysia selepas menewaskan wakil China, Wang Zhi Yi, pada aksi final di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.
Dalam aksi ulangan final edisi tahun lalu itu, Se Young yang juga pemain nombor satu dunia sekali lagi mempamerkan keunggulan ke atas pemain ranking kedua dunia berkenaan apabila mencatat kemenangan straight set 21-15, 24-22 dalam tempoh 56 minit.
Kejayaan itu menyaksikan Se Young merekodkan kemenangan ke-17 ke atas Zhi Yi daripada 21 pertemuan, sekali gus mengukuhkan penguasaannya ke atas pencabar utama dari China itu di pentas antarabangsa.
Lebih mengagumkan, sepanjang tahun lalu sahaja, Se Young bertemu Zhi Yi sebanyak tujuh kali di pentas final dan memenangi kesemua perlawanan berkenaan.
Mengulas kemenangan berkenaan, juara Olimpik itu berkata kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi kunci utama kejayaannya, terutama ketika berdepan saat genting.
“Saya sentiasa percaya pada diri sendiri dan tidak pernah berputus asa. Saya hanya fokus untuk bermain mengikut gaya saya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Se Young turut mengakui keyakinan tinggi setiap kali menentang Zhi Yi banyak membantu corak permainannya di atas gelanggang, selain kekal berdisiplin dengan strategi sendiri.
Dengan kejayaan terbaharu itu, Se Young semakin mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain perseorangan wanita terhebat sepanjang zaman.
Musim lalu, dia menjuarai 11 daripada 14 kejohanan Jelajah Dunia yang disertainya.
Selaku juara Terbuka Malaysia, Se Young membawa pulang hadiah wang tunai AS$101,500 (RM415,490), manakala Zhi Yi menerima AS$49,300 (RM201,809) sebagai naib juara.
Mengulas perancangannya selepas ini, Se Young memaklumkan fokus utama adalah menjaga keadaan fizikal, namun menegaskan dia tetap berhasrat meneruskan saingan di Terbuka India selagi tahap kecergasannya mengizinkan.