Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, mengakui keputusan untuk kembali beraksi di Terbuka Malaysia dibuat dalam keadaan penuh pertimbangan dan risiko, namun langkah itu dianggap perlu bagi menyelamatkan kedudukan ranking dunianya yang kini merosot ke tangga ke-144. Kejatuhan tersebut memaksa pemain berpengalaman itu mengambil pendekatan berani walaupun masih dalam fasa pemulihan kecederaan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu menjelaskan, meskipun masih memiliki perlindungan ranking sehingga bulan depan, dia tidak mahu menunggu terlalu lama kerana bimbang kehilangan peluang mengutip mata penting. Terbuka Malaysia, sebagai kejohanan pembuka tirai musim, dianggap platform terbaik untuk memulakan semula kempen dan mengekang kemerosotan ranking yang boleh menjejaskan perancangannya sepanjang musim.
“Salah satu sebab utama saya kembali adalah kerana mata ranking di sini agak besar. Ranking saya sudah jatuh terlalu jauh, jadi mahu tidak mahu saya perlu turun beraksi untuk selamatkan ranking,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia bermula Selasa ini.
Zii Jia tidak menafikan kejatuhan ranking dunia memberi tekanan besar kepadanya, lebih-lebih lagi selepas hanya sempat beraksi dalam lima kejohanan sepanjang musim 2025. Situasi itu berpunca daripada siri kecederaan berpanjangan yang menjejaskan kesinambungan prestasi serta konsistensi penyertaannya dalam kejohanan utama.
“Memang ada tekanan bila tengok ranking jatuh macam ini. Jadi, saya perlu beraksi di Terbuka Malaysia, kalau tunggu lagi, nanti saya sendiri tidak tahu kejohanan mana yang boleh saya sertai. Ini risiko yang saya perlu ambil,” katanya lagi.
Walaupun berada di ranking ke-144 dunia ketika ini, bekas juara Seluruh England itu masih memiliki perlindungan ranking di kedudukan kelapan dunia. Perlindungan berkenaan membolehkannya menyertai kejohanan utama dalam tempoh tertentu, namun Zii Jia sedar kelebihan itu bersifat sementara dan tidak boleh dijadikan sandaran jangka panjang.
Mengulas tahap kecergasannya, Zii Jia mengakui dia masih belum berada pada tahap terbaik sepenuhnya. Namun, selepas melalui proses penilaian bersama pasukannya, dia menerima ‘lampu hijau’ untuk kembali bertanding walaupun tahap kesediaan fizikal dan mental masih dalam pemantauan rapi.
“Setakat ini saya sendiri tidak pasti sama ada sudah 100 peratus. Dari segi fizikal dan mental, pasukan beri keizinan untuk saya kembali beraksi. Januari ini memang mencabar sebab saya akan sertai beberapa kejohanan, tapi saya anggap ini satu ujian sama ada saya benar-benar bersedia untuk kembali ke gelanggang,” katanya.
Zii Jia sebelum ini bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember 2024. Kecederaan itu memberi kesan berpanjangan sehingga memaksa jadual pertandingannya terganggu dan prestasi tidak dapat dikekalkan secara konsisten.
Selepas itu, dia kembali beraksi di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac tahun lalu. Namun, kecederaan berkenaan masih belum pulih sepenuhnya dan keadaan itu memaksanya berehat sekali lagi sebelum tampil di Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos.
Sekembalinya daripada kejohanan dunia, Zii Jia sempat beraksi di Terbuka Hong Kong. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia terpaksa menarik diri pada pusingan pertama Masters China pada September lalu akibat kecederaan belakang. Keputusan tersebut membawa kepada satu lagi tempoh rehat bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.
Mengulas sasaran musim ini, Zii Jia menegaskan fokus utamanya adalah untuk kembali ke kelompok terbaik dunia. Kedudukan ranking dianggap faktor penting bukan sahaja dari sudut penyertaan kejohanan, malah dalam perancangan jangka panjang menjelang kelayakan Olimpik edisi seterusnya.
“Sasaran saya tahun ini adalah untuk kembali ke kelompok 10 atau 15 terbaik dunia kalau boleh, sebab kita tahu kelayakan Olimpik untuk edisi seterusnya sudah hampir bermula,” katanya.
Dalam saingan Terbuka Malaysia, Zii Jia dijadual membuka tirai kempen menentang pemain India, Ayush Shetty, pada pusingan pertama. Sekiranya berjaya melepasi halangan awal itu, dia dijangka berdepan pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi, bagi perebutan tiket ke suku akhir.
“Saya tidak fikir jauh tentang undian. Sudah lama tidak bermain kejohanan dan baru pulih daripada kecederaan, tapi itu bukan alasan. Semua pemain ada tekanan masing-masing. Saya hormat semua dan akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.