sukan

Pornchai dedah punca kejatuhan Thailand

Kegagalan skuad sepak takraw Thailand mempertahankan kejuaraan pada Sukan SEA Thailand 2025 disifatkan sebagai satu tamparan paling menyakitkan dalam sejarah moden sukan itu oleh legenda negara berkenaan, Pornchai Kaokaew. Kekalahan yang dialami bukan sahaja melibatkan kehilangan pingat emas acara regu berpasukan kepada musuh tradisi, Malaysia, malah lebih mengejutkan apabila Thailand tersingkir awal daripada saingan acara regu selepas tewas kepada Vietnam di peringkat separuh akhir.

Sebagai bekas tonggak utama yang pernah melalui era kegemilangan sepak takraw Thailand, Pornchai tidak berselindung dengan kekecewaan terhadap prestasi semasa pasukan Gajah Perang. Menurutnya, keputusan yang dicatatkan pada temasya kali ini menggambarkan jurang ketara yang semakin melebar antara Thailand dan pencabar utama mereka, khususnya Malaysia.

“Apa yang terjadi dengan sepak takraw di Thailand ketika ini saya sangat terkejut. Jika tewas kepada Malaysia tidak mengapa kerana persaingan sengit, tetapi tewas di separuh akhir kepada Vietnam adalah sesuatu yang pelik,” kata Pornchai ketika mengulas prestasi skuad negara itu.

Kekecewaan tersebut bukan sekadar tertumpu kepada keputusan akhir, sebaliknya turut melibatkan prestasi keseluruhan pasukan yang menurut Pornchai gagal menyerlahkan tahap permainan sebenar mereka. Beliau menjelaskan bahawa barisan pemain yang diturunkan sebenarnya terdiri daripada gandingan terbaik Thailand ketika ini, namun gagal menepati jangkaan di pentas besar.

“Regu yang dihantar seperti Pornthep Tinbangbon, Varayut Jantarasena dan Marukin Phanmakon adalah regu terbaik yang Thailand miliki sekarang. Tetapi apa yang dipamerkan di gelanggang tidak seperti yang diharapkan,” katanya.

Pornchai berpandangan bahawa kekalahan tersebut tidak boleh dianggap sebagai kebetulan semata-mata, sebaliknya berpunca daripada isu struktur dan persiapan jangka panjang yang semakin ketara dalam sistem pembangunan sepak takraw Thailand. Menurutnya, perbezaan paling jelas antara Thailand dan Malaysia ketika ini adalah tahap pendedahan kompetitif yang diterima oleh pemain.

“Thailand tidak mempunyai banyak pertandingan. Jika dibandingkan dengan Malaysia, mereka ada STL setiap minggu dan pengurusan kewangan yang baik. Pemain Malaysia sentiasa berada dalam tekanan kompetitif,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa pendedahan berterusan dalam kejohanan berintensiti tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk ketahanan mental dan kestabilan prestasi pemain, terutamanya ketika berdepan tekanan perlawanan di kejohanan besar seperti Sukan SEA. Ketiadaan liga domestik yang konsisten dan kompetitif menyebabkan pemain Thailand gagal mengekalkan tahap permainan terbaik apabila beraksi di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, Pornchai turut menyuarakan kebimbangan terhadap jurang usia yang semakin ketara antara pemain Thailand dan Malaysia. Beliau melihat kehadiran pemain muda Malaysia, khususnya di posisi tekong, sebagai ancaman serius kepada dominasi Thailand pada masa hadapan.

“Anda lihat Haziq baru berumur 24 tahun dan permainannya cukup luar biasa. Tetapi, 95 peratus pemain Thailand kini berumur lebih dari 30 tahun,” katanya.

Menurut Pornchai, faktor usia bukan sekadar berkait dengan kecergasan fizikal, malah memberi kesan kepada keupayaan pemain untuk menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal dan tempo permainan moden yang semakin pantas. Keadaan ini menyebabkan Thailand berada dalam situasi sukar untuk bersaing secara konsisten dengan Malaysia yang memiliki struktur pembangunan pemain lebih sistematik.

Beliau turut memberi amaran bahawa tanpa perubahan drastik dalam sistem pertandingan, pembangunan bakat muda dan pengurusan pasukan, Thailand berisiko kehilangan status sebagai kuasa besar sepak takraw Asia Tenggara.

“Saya rasa lima tahun akan datang, Thailand akan sukar untuk kembali mendominasi sukan ini jika tidak berubah,” tambahnya.

Kenyataan Pornchai itu dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa Thailand perlu melakukan penilaian semula secara menyeluruh terhadap hala tuju sepak takraw negara tersebut. Kejayaan Malaysia meraih emas regu berpasukan dan kemaraan konsisten dalam acara regu menjadi bukti bahawa kelebihan tradisi semata-mata tidak lagi mencukupi tanpa sokongan sistem kompetitif yang kukuh.

Kegagalan di Sukan SEA Thailand 2025 bukan sahaja menamatkan harapan mempertahankan kejuaraan, malah membuka perbincangan lebih besar mengenai masa depan sepak takraw Thailand dalam landskap serantau yang semakin kompetitif dan dinamik.