sukan

Empat Negara Kerdil lakar sejarah mara ke Piala Dunia

Keputusan kelayakan Piala Dunia 2026 terus mencuri tumpuan global apabila beberapa negara kecil menampilkan pencapaian luar biasa dan mencipta sejarah tersendiri. Dalam situasi pasukan tradisi masih bergelut mendapatkan slot, kejayaan beberapa pasukan kerdil mengundang perhatian meluas, sekali gus mewarnai edisi yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. Dengan 42 daripada 48 slot sudah diisi, penganjuran kali ini dijangka menjadi antara yang paling pelbagai dalam sejarah, terutama dengan penyertaan pasukan yang sebelum ini hanya menghuni pinggiran bola sepak dunia.

Antara pasukan yang menjadi bualan ialah Curacao, Haiti, Cape Verde dan Panama, masing-masing menempuh laluan sukar namun berjaya menamatkan kempen kelayakan dengan sentuhan dramatik. Kejutan paling besar tercetus di Caribbean apabila Curacao, sebuah pulau kecil berpopulasi sekitar 150,000 orang, mengesahkan penyertaan ke Piala Dunia buat pertama kali selepas keputusan seri 0-0 menentang Jamaica. Sebelum ini, Curacao lebih sinonim sebagai destinasi pelancongan dengan pantai tropika dan imej percutian, namun kejayaan layak ke pentas bola sepak terbesar dunia mengubah persepsi itu sepenuhnya.

Rekod baharu turut direkodkan apabila Curacao kini menjadi negara paling kecil dalam sejarah yang layak ke Piala Dunia, menewaskan catatan sebelumnya yang dipegang Iceland. Bezanya ketara, Stadium MetLife di New Jersey – lokasi final Piala Dunia 2026 – mampu menampung 82,500 penonton, bersamaan lebih separuh jumlah penduduk keseluruhan Curacao. Kekangan populasi yang kecil memaksa mereka bergantung kepada pemain kelahiran Belanda yang mempunyai hubungan keluarga dengan pulau itu selepas memperoleh status wilayah autonomi dalam Kerajaan Belanda pada 2010. Jurulatihnya, Dick Advocaat, mengakui pencapaian itu sebagai detik paling “gila” dalam kariernya dan menyifatkan ia sebagai hadiah bermakna kepada rakyat pulau berkenaan.

Satu lagi kisah berprofil tinggi datang dari Haiti yang kembali ke Piala Dunia selepas kali terakhir melakukan penampilan pada 1974. Kejayaan itu hadir dalam suasana negara yang berdepan krisis keselamatan yang parah, melibatkan kekacauan sosial, ancaman kumpulan bersenjata serta gangguan terhadap aktiviti latihan pasukan. Jurulatihnya, Sebastian Migne dari Perancis, yang mengambil alih pada 2024, belum pernah menjejak kaki ke Haiti ekoran situasi keselamatan yang tidak menentu, dengan laporan menyebut 90 peratus kawasan ibu negara Port-au-Prince dikuasai kumpulan bersenjata. Migne menyifatkan kejayaan mereka sebagai luar biasa dan mengingatkan bahawa perjalanan ke pentas tertinggi itu menuntut pengorbanan besar.

Cape Verde turut mengukir sejarah apabila menewaskan Eswatini 3-0 untuk memastikan slot pertama mereka ke Piala Dunia. Dengan populasi sekitar 600,000 orang, kejayaan itu melengkapkan era kebangkitan negara pulau Atlantik itu. Mereka turut bergantung kepada pemain diaspora, antaranya pemain pertahanan Roberto Lopes, yang dilahirkan di Ireland tetapi memiliki pertalian darah dengan Cape Verde. Jurulatih mereka, Pedro Brito, menegaskan kemenangan itu sebagai hadiah kepada rakyat sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara berkenaan.

Panama pula kembali ke pentas dunia selepas debut pada 2018, kali ini layak selepas menewaskan El Salvador. Dengan populasi 4.5 juta, Panama melihat edisi akan datang sebagai peluang untuk memperbaiki prestasi selepas menamatkan kempen 2018 di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata. Kelayakan automatik Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada selaku tuan rumah turut membuka laluan lebih luas kepada pasukan-pasukan kecil dalam rantau CONCACAF.

Walaupun sambutan di negara-negara terbabit berlangsung meriah dengan video tular di media sosial, laluan sebenar di Piala Dunia masih panjang dan menuntut persiapan teliti. Pakar bola sepak, Carl Worswick, mengingatkan bahawa penyertaan itu datang bersama tanggungjawab besar serta cabaran baharu. Menurutnya, pengalaman negara kecil yang pernah membuat penampilan pertama sebelum ini membuktikan isu kewangan, pengurusan dan tekanan awam sering menjadi cabaran utama yang perlu diuruskan secara strategik.

Beliau menegaskan bahawa penampilan di pentas dunia memang mengangkat profil negara, namun persatuan bola sepak masing-masing harus bijak menggunakan peluang itu dengan pelaburan tepat, termasuk dalam pembangunan pemain dan infrastruktur. Dalam masa sama, Worswick turut memaklumkan bahawa kejayaan tersebut turut membawa risiko skandal yang telah berlaku di beberapa negara sebelum ini. Namun bagi Haiti, segala kekangan yang mereka hadapi menjadikan kelayakan itu sangat bermakna. Wartawan Haiti, Harold Isaac, menyatakan bahawa rakyat di negaranya sekadar mahukan sedikit harapan selepas bertahun-tahun menderita, dan kelayakan pasukan nasional memberikan sinar baharu kepada mereka.

Berikut senarai pasukan yang telah mengesahkan slot setakat ini: Tuan rumah – Kanada, Mexico, Amerika Syarikat. CONCACAF – Curacao, Haiti, Panama. Afrika – Algeria, Cape Verde, Mesir, Ghana, Ivory Coast, Maghribi, Senegal, Afrika Selatan, Tunisia. Asia – Australia, Iran, Jepun, Jordan, Qatar, Arab Saudi, Korea Selatan, Uzbekistan. Eropah – Croatia, England, Perancis, Norway, Portugal, Jerman, Belanda, Sepanyol, Belgium, Switzerland, Austria, Scotland. Oceania – New Zealand. Amerika Selatan – Argentina, Brazil, Colombia, Ecuador, Paraguay, Uruguay.