sukan

Status Arif Aiman cetus tanda tanya

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, mengesahkan bahawa tonggak serangan pasukan, Arif Aiman Hanapi, bakal terlepas beberapa perlawanan selepas masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami. Perkembangan terbaharu itu sekali lagi mengundang kebimbangan dalam kalangan penyokong Harimau Selatan susulan tempoh ketiadaan pemain berprofil tinggi itu masih belum dapat dipastikan.

Menurut Munoz, kehilangan Arif memberikan kesan yang signifikan terhadap perancangan taktikal pasukan memandangkan pemain sayap itu sudah lama diiktiraf sebagai antara yang terbaik di Asia ketika ini. Beliau menegaskan situasi tersebut bukan sahaja memberi implikasi kepada kekuatan JDT, tetapi turut menjejaskan keterujaan penyokong yang ingin melihat aksi konsisten pemain muda tersebut selepas persembahan cemerlangnya sebelum ini.

“Kami sentiasa gembira apabila Arif Aiman turun beraksi di padang sama ada bersama skuad kebangsaan dan JDT dan situasi sekarang kami kehilangan pemain yang penting buat kami dan berharap proses pemulihan kecederaan yang dialami berjalan dengan baik,” katanya.

Munoz menjelaskan bahawa pasukan memahami keperluan untuk memberikan ruang secukupnya kepada Arif dalam proses pemulihan, namun tidak dapat memastikan tempoh sebenar pemain itu akan kembali beraksi. Berdasarkan maklumat yang diterimanya, status kecederaan tersebut tidak boleh didedahkan secara terperinci kepada umum.

“Malah kami berharap Arif akan kembali beraksi dengan lebih bertenaga namun perlu tunggu dan tidak pasti bila dia akan beraksi dan itulah bola sepak ada ketika prestasi terbaik dan juga bersedia untuk berdepan masa kesukaran yang tidak boleh dielakkan.

“Apapun kami yakin Arif sedang berusaha dengan bantuan pakar perubatan untuk kembali beraksi dan untuk pengetahuan semua saya tidak dapat informasi mengenai status sebenar kecederaannya tapi apa yang difahamkan kecederaan dia tidak boleh dimaklumkan kepada anda,” ujarnya.

Di sebalik ketiadaan Arif, JDT bagaimanapun mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan Melaka FC 7-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. Kemenangan besar itu hadir selepas tempoh rehat dua minggu bagi memberi ruang kepada skuad kebangsaan menentang Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Munoz melahirkan rasa puas hati terhadap komitmen dan intensiti ditunjukkan pemainnya yang kembali dengan tenaga baharu selepas rehat perlawanan antarabangsa. Beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai suntikan moral penting menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Melbourne City FC di Stadium Rectangular Melbourne pada Selasa.

Katanya, persembahan bertenaga yang dipamerkan semua posisi memberi gambaran jelas bahawa pasukan bersedia memikul tekanan saingan elit dan mampu mengekalkan momentum. Beliau menekankan bahawa intensiti tinggi yang dipamerkan menandakan pemain berada dalam tahap keyakinan yang kukuh untuk menghadapi cabaran di peringkat Asia.

Pengendali itu turut mengingatkan pemain supaya terus mengekalkan disiplin permainan, kestabilan taktikal serta ketahanan fizikal untuk memastikan JDT berada pada prestasi optimum menjelang perlawanan penting tersebut. Menurutnya, kemenangan besar ke atas Melaka FC bukan sekadar keputusan, tetapi bukti kepada kesungguhan pasukan memulakan fasa baharu dengan pendekatan agresif dan teratur.

Beliau juga mengulangi bahawa perlawanan menentang Melbourne City FC memerlukan fokus sepenuhnya kerana tahap persaingan yang lebih tinggi menuntut gaya permainan lebih sistematik dan konsisten. Justeru, setiap pemain perlu mengekalkan tahap kecergasan ideal serta memaksimumkan peluang dalam tempoh persediaan singkat ini.

Dengan ketiadaan Arif Aiman, JDT dijangka melakukan beberapa penyesuaian taktikal bagi memastikan keseimbangan posisi sayap dan serangan kekal efektif. Munoz bagaimanapun yakin struktur pasukan mampu menyerap tekanan dengan sokongan padu pemain lain yang menunjukkan peningkatan prestasi selepas kembali bersama kelab.

Beliau menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa objektif utama kini adalah memastikan Arif pulih sepenuhnya tanpa sebarang risiko jangka panjang, sambil mengekalkan momentum kemenangan pasukan dalam saingan domestik dan Asia.