sukan

Pencapaian luar biasa Malaysia – Josue

Harimau Malaya menutup tirai 2025 dengan pencapaian positif meskipun berdepan tekanan besar daripada isu berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan. Ketika tanda tanya mengenai siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terus menjadi perbualan hangat, skuad negara kekal stabil di atas padang dan mempamerkan komitmen tinggi sepanjang kempen musim ini.

Di bawah bimbingan jurulatih utama, Peter Cklamovski, skuad kebangsaan merekodkan tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan rasmi tahun ini, dengan satu-satunya keputusan seri hadir ketika aksi persahabatan menentang Cape Verde pada Mei lalu. Rekod itu bukan sahaja mempamerkan peningkatan konsisten, malah memberi gambaran jelas bahawa struktur permainan yang diperkenalkan sejak awal tahun semakin difahami para pemain.

Pencapaian memberangsangkan itu turut diterjemah kepada peningkatan dalam ranking dunia apabila kemas kini terbaharu FIFA meletakkan Malaysia naik dua tangga ke kedudukan ke-116 dunia. Ia sekali gus menandakan kepulangan skuad kebangsaan ke posisi terbaik mereka sejak 20 tahun lalu. Kali terakhir Malaysia berada di tangga ke-116 adalah pada November 2005. Sebagai perbandingan, kedudukan tertinggi Harimau Malaya ialah ke-75 dunia pada Ogos 1993, manakala penurunan paling rendah direkodkan pada Mac 2018 ketika skuad negara menduduki tangga ke-178.

Penyerang negara, Paulo Josue menyifatkan prestasi pasukan sepanjang tahun ini sebagai luar biasa. Beliau menekankan bahawa barisan kejurulatihan yang baru dibentuk berjaya membawa roh dan pendekatan taktikal yang jelas kepada skuad kebangsaan, sekali gus meningkatkan keyakinan setiap pemain.

“Kami mengharungi tahun yang sangat baik, memenangi semua perlawanan termasuk aksi persahabatan dan itu sesuatu yang luar biasa. Saya fikir ia satu pencapaian hebat buat kami. Bagi barisan kejurulatihan, mereka baru sahaja menyertai pasukan tahun ini tetapi sudah menunjukkan sistem mereka, semangat mereka dan cara mereka percaya Malaysia boleh meningkat,” katanya.

Josue turut berharap momentum positif itu dapat diteruskan dalam kem latihan pada Mac nanti, terutama menjelang pertemuan penting menentang Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Asia. Menurutnya, matlamat utama adalah memastikan skuad kebangsaan kekal di kedudukan teratas Kumpulan F.

“Saya berharap pada kem latihan seterusnya, kami boleh pergi ke Vietnam dan menewaskan mereka atau sekurang-kurangnya tidak kalah. Itu penting untuk kekal di kedudukan teratas kumpulan,” katanya.

Namun, dalam kalangan penyokong masih wujud kebimbangan mengenai kemungkinan Malaysia berdepan hukuman jika hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran peraturan berkaitan status pemain warisan. FAM memaklumkan bahawa kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai langkah mempertahankan kepentingan negara.

Josue, ketika mengulas mengenai isu tersebut, memilih untuk memberi tumpuan hanya kepada aspek persiapan pasukan. Beliau menegaskan bahawa pemain tidak boleh terperangkap dalam isu di luar kawalan mereka.

“Sejujurnya saya tiada komen mengenainya kerana saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya ada membaca beberapa artikel bahawa FIFA sudah mengeluarkan kenyataan, tetapi saya bukan orang yang tepat untuk bercakap. Kami sebagai pemain perlu bersedia untuk perlawanan dan meletakkan perkara yang tidak dapat dikawal di tepi,” jelasnya.

Beliau juga berharap situasi tersebut dapat diselesaikan dengan baik agar fokus pasukan tidak terganggu dalam persiapan menuju kempen kelayakan Piala Asia pada Mac.

Dengan prestasi stabil sepanjang 2025, peningkatan ranking dunia dan keyakinan pemain yang semakin menebal, Harimau Malaya kini berada pada landasan yang lebih kukuh untuk meneruskan cabaran pada tahun hadapan. Walaupun isu luar padang terus menghantui, kejayaan mengekalkan prestasi positif sepanjang tahun ini menunjukkan karakter dan ketahanan mental skuad kebangsaan berada pada tahap yang tinggi.