sukan

Komen Cklamovski selepas berakhir aksi berdepan Nepal Tarik perhatian

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menegaskan kemenangan 1-0 ke atas Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia malam ini menjadi bukti bahawa setiap pemain dalam skuad negara mampu memikul tanggungjawab ketika diperlukan. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Malaysia menutup tirai tahun 2025 tanpa sebarang kekalahan, sekali gus melengkapkan kempen yang sarat cabaran dalam dan luar padang.

Faisal Halim muncul wira apabila meledak jaringan tunggal perlawanan, namun kejayaan itu turut diselubungi detik cemas seawal minit ke-10 apabila Arif Aiman Hanapi mengalami kecederaan. Insiden tersebut memaksa Cklamovski melakukan pertukaran awal dengan memasukkan Faisal, yang kemudiannya mencorakkan peluang dan akhirnya menghadiahkan tiga mata berharga untuk negara.

Selepas perlawanan, Cklamovski mengakui kegusaran terhadap keadaan Arif Aiman tetapi menegaskan pasukannya tidak boleh bergantung kepada seorang pemain sahaja. “Saya kesal, saya harap keadaannya OK kerana saya belum tahu perkembangannya.” katanya. Beliau menambah, “Tapi ini satu pengajaran bahawa kami tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja.” Pandangannya turut disusuli keyakinan terhadap keseluruhan skuad apabila menyatakan, “Setiap pemain yang dimasukkan percaya dengan bola sepak sendiri dan sesama sendiri.”

Jurulatih kelahiran Australia itu mengakui kehilangan pemain utama di saat awal memberi kesan, namun memuji kematangan pasukan dalam menyesuaikan diri. “Malangnya kami kehilangan pemain terlalu awal tetapi pasukan telah menunjukkan karakter untuk mendapatkan ganjaran kepada negara,” katanya. Malaysia, yang mencipta beberapa peluang sejak sepak mula, berdepan tentangan tersusun daripada Nepal tetapi tetap menguasai permainan dari aspek intensiti dan penguasaan ruang.

Cklamovski turut menyentuh aspek taktikal pasukan yang kekal sabar dalam mengawal tempo sebelum membuka lebih banyak ruang serangan. “Kami bersabar dan kekalkan tempo kerana lambat-laun pihak lawan akan kepenatan.” tegasnya. Beliau menambah, “Kami tahu akan mendapat lebih banyak ruang.” Momentum permainan kembali berpihak kepada Malaysia pada babak kedua. Menurutnya, “Kami memulakan babak kedua dengan baik, mungkin pada hari yang lain kami akan menjaringkan dua atau tiga gol lagi tetapi inilah tahap bola sepak antarabangsa.”

Jurulatih itu juga memuji mentaliti anak buahnya yang berjaya mengekalkan fokus meskipun skuad negara berdepan isu luar padang ketika ini. Situasi tersebut, katanya, langsung tidak memadamkan komitmen pemain yang tetap berjuang sehingga wisel penamat. “Saya sangat bangga untuk menerajui kumpulan pemain ini setiap hari kerana memberi inspirasi kepada saya.” ujarnya. Cklamovski menekankan bahawa pasukan bukan sahaja bermain untuk keputusan, tetapi juga maruah negara. “Sudah tentu sebagai pemain, pasukan dan yang paling penting sebagai rakyat.”

Ketika diminta mengulas prestasi keseluruhan pasukan, beliau menjelaskan bahawa disiplin taktikal dan kekentalan mentaliti menjadi faktor utama kemenangan kali ini. “Kami hanya fokus kepada mutu persembahan pada malam ini dengan mentaliti positif apabila tidak bolos dan mengutip tiga mata.” katanya. Malaysia sebenarnya berpeluang menambah jaringan tetapi ketumpulan di depan gol menafikan kelebihan lebih besar. “Kami ingin jaringkan lebih gol pada malam ini dan mempunyai beberapa peluang menarik.” tambahnya lagi.

Tidak menyembunyikan rasa bangga atas pencapaian skuad tahun ini, Cklamovski menyifatkan sokongan penyokong sebagai nadi kepada kekuatan Harimau Malaya. “Saya mahu penyokong yang berada di rumah dan stadium berbangga dengan pemain dan Harimau Malaya kerana kami menutupkan 2025 tanpa kekalahan,” katanya.

Kemenangan ini bukan sekadar tiga mata, tetapi menjadi simbol ketahanan dan kematangan sebuah pasukan yang berusaha memperbaiki prestasi secara konsisten. Dengan rekod tanpa kalah tahun ini, Malaysia memasuki fasa seterusnya dengan keyakinan lebih kukuh, manakala tumpuan seterusnya adalah memastikan kecederaan Arif Aiman dapat dirawat segera.

Recent Posts

  • bola sepak
  • sukan
  • tempatan

TERKINI : JDT Cipta Sejarah baharu

10 hours ago
  • badminton
  • sukan
  • tempatan

Pearly hampir menangis

12 hours ago
  • badminton
  • sukan
  • tempatan

TERKINI : Rexy umum keputusan mengejut

13 hours ago