Kejayaan demi kejayaan terus dicatatkan oleh gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, apabila mereka sekali lagi mencipta detik bersejarah dengan menjuarai Masters Kumamoto 2025. Kejayaan terbaharu yang dilakar di Jepun itu mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai beregu wanita Malaysia paling berjaya dalam era moden, berdasarkan rekod gelaran serta konsistensi prestasi sejak 2021.
Sebagai pasangan ranking nombor dua dunia, Pearly-Thinaah kini berada pada tahap yang sukar digugat oleh mana-mana gandingan Malaysia terdahulu dalam kategori wanita. Sejak mula menyerlah pada tahun 2021, mereka telah mengumpul enam gelaran dalam Jelajah Dunia BWF, satu rekod yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana beregu wanita Malaysia sebelum ini. Gelaran yang mereka raih termasuk Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024, Terbuka Thailand 2025, Terbuka Artik 2025 dan kini Masters Kumamoto 2025.
Malah, pencapaian mereka tidak hanya terhenti pada siri kejuaraan. Pada Ogos lalu, Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama mara ke final Kejohanan Dunia di Paris. Pencapaian itu menandakan tahap kematangan prestasi mereka, selain membuktikan kemampuan bersaing dengan pasangan terbaik dunia dalam kejohanan paling berprestij.
Jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, pencapaian Pearly-Thinaah jauh mengatasi rekod beberapa gandingan wanita yang pernah menjadi sandaran negara seperti Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Vivian Hoo-Woon Khe Wei serta Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean. Pei Tty-Ee Hui, misalnya, hanya meraih empat gelaran bertaraf Siri Super sebelum format itu digantikan dengan Jelajah Dunia, termasuk Terbuka Denmark 2008 dan Siri Super Masters Akhir 2008 serta dua lagi gelaran pada tahun 2009. Gandingan Vivian-Khe Wei pula hanya memiliki dua gelaran Grand Prix, sementara Mei Kuan-Meng Yean meraih satu gelaran Jelajah Dunia di Syed Modi 2018.
Deretan rekod yang telah dikumpul Pearly-Thinaah mengesahkan bahawa mereka kini berada dalam kelas tersendiri. Kejayaan-kejayaan ini turut memperlihatkan perubahan landskap badminton wanita Malaysia, apabila buat pertama kalinya ada beregu mampu menguasai pentas antarabangsa secara konsisten.
Di pentas final Masters Kumamoto hari ini, Pearly-Thinaah menampilkan aksi penuh karakter juara. Mereka bangkit dalam kedua-dua set untuk menewaskan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 22-20, 21-19. Pertarungan berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto dan menyaksikan pasangan Malaysia itu menunjukkan kematangan taktikal serta ketahanan mental ketika berdepan tekanan daripada pasangan ranking ketujuh dunia tersebut.
Kemenangan itu turut menjadi ulangan kepada kejayaan mereka menewaskan pasangan yang sama di pentas final Terbuka Artik bulan lalu. Rekod kemenangan berturut-turut ke atas gandingan Jepun itu menunjukkan bahawa Pearly-Thinaah semakin memahami gaya permainan lawan dan mampu menyesuaikan strategi dengan efektif.
Lebih manis, kejayaan ini menjadikan mereka pasangan Malaysia pertama menjulang gelaran Masters Kumamoto sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 2023. Mereka bukan sahaja mengatasi pencapaian terbaik sebelum ini oleh pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, yang muncul naib juara pada edisi lalu, malah menandakan era baharu bagi badminton wanita Malaysia.
Selepas menewaskan Iwanaga-Nakanishi, Pearly berkongsi bahawa perlawanan tersebut sangat mencabar. “Ia perlawanan yang sangat sengit, mereka benar-benar memberikan tentangan yang hebat. Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini,” katanya.
Thinaah pula menegaskan bahawa kekuatan utama mereka adalah sokongan mental sesama sendiri ketika berdepan saat genting. “Saling menyokong dan memberi motivasi pada setiap mata,” katanya, merumuskan formula kemenangan yang terbukti berjaya sepanjang musim ini.
Dengan gelaran Masters Kumamoto ini, Pearly-Thinaah kini telah meraih tiga kejuaraan musim 2025, termasuk kejayaan di Terbuka Thailand dan Terbuka Artik. Konsistensi yang dipamerkan mereka sepanjang musim membuktikan bahawa gandingan nombor dua dunia ini berada di landasan tepat untuk terus menjadi pencabar utama kejuaraan-kejuaraan besar lain tahun ini.