Rodrigo Holgado menjadi pemain kedua melalui detik pahit apabila kontraknya bakal ditamatkan, selepas Gabriel Palmero terlebih dahulu berdepan nasib sama pada Sabtu lalu. Perkembangan terbaru ini sekali lagi menghangatkan isu hukuman ke atas tujuh pemain negara yang kekal digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Holgado, yang juga merupakan pemain skuad Harimau Malaya, dilaporkan bakal menerima keputusan serupa apabila kelabnya, America de Cali, sedang dalam proses menamatkan kontraknya. Menurut laporan yang dikongsi wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra, penamatan itu dibuat sebagai reaksi langsung terhadap keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman asal sebelum ini.
Dalam kenyataan yang dipetik daripada hantaran Sierra di platform X, beliau menjelaskan bahawa peguam America de Cali kini sedang menguruskan prosedur penamatan kontrak tersebut. Langkah ini diambil susulan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan dan penalti kewangan ke atas Holgado serta enam lagi pemain Malaysia, seperti diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada penghujung September.
Sierra turut menambah bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang menyediakan kes lengkap untuk dibawa ke peringkat seterusnya, iaitu Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Usaha itu dilihat sebagai langkah susulan selepas rayuan awal FAM kepada FIFA ditolak, sekali gus mengekalkan semua hukuman yang telah dijatuhkan.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bahawa Gabriel Palmero berdepan situasi hampir sama apabila kelabnya di Sepanyol, Unionistas de Salamanca, membuat keputusan menamatkan kontraknya. Dalam kenyataan rasmi mereka, Unionistas de Salamanca menjelaskan bahawa tindakan itu dibuat selepas kelab menerima pemakluman rasmi daripada FIFA berhubung penggantungan 12 bulan ke atas pemain berkenaan.
Selain Holgado dan Palmero, lima lagi pemain turut digantung, iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Imanol Machuca. Kesemua mereka sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan berkuat kuasa 12 bulan serta denda individu sebanyak CHF2,000 (bersamaan RM10,374) seperti diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
FAM pula turut dikenakan denda berjumlah CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), susulan isu yang melibatkan tujuh pemain berkenaan. Selepas rayuan ditolak, FAM mengesahkan mereka telah memohon alasan bertulis penuh daripada FIFA untuk diteliti sebelum menentukan langkah undang-undang seterusnya, termasuk mempertimbangkan membawa kes tersebut ke CAS.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan ramai pihak dalam industri bola sepak tempatan kerana ia bukan sahaja memberi kesan langsung kepada kerjaya pemain terbabit, malah memberi tekanan terhadap FAM dalam aspek perundangan, kewangan dan reputasi di pentas antarabangsa.
Dengan Holgado kini menjadi pemain kedua yang berdepan penamatan kontrak dalam tempoh kurang seminggu, perkembangan ini dijangka terus menarik perhatian peminat bola sepak Malaysia. Ramai kini menantikan tindakan susulan FAM serta bagaimana kes ini akan dibawa ke peringkat CAS, memandangkan keputusan tersebut bakal menentukan hala tuju masa depan tujuh pemain berkenaan serta implikasi kepada kelab masing-masing.