sukan

7 pemain digantung FIFA pertimbang menyaman FAM

Isu penggantungan tujuh pemain bola sepak negara oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nampaknya bakal memasuki fasa baharu selepas difahamkan pemain terbabit kini sedang menimbang langkah undang-undang terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sumber rapat mendedahkan, tujuh pemain itu sedang meneliti kemungkinan untuk menuntut ganti rugi terhadap FAM selepas persatuan berkenaan mengakui berlakunya kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen kepada FIFA. Kesilapan itu didakwa menjadi punca utama mereka digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

Menurut sumber, tindakan undang-undang tersebut kini sedang diperhalusi dengan bantuan peguam luar negara yang telah dihubungi oleh pemain-pemain berkenaan. Langkah itu dianggap wajar memandangkan akibat daripada penggantungan berkenaan, sebahagian pemain kehilangan sumber pendapatan utama selepas kontrak mereka bersama kelab masing-masing ditamatkan serta-merta.

“Difahamkan peguam luar negara kini berunding dengan tujuh pemain terbabit yang mempertimbangkan untuk menyaman FAM. Kesilapan teknikal itu telah pun diakui sendiri oleh FAM, jadi langkah ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata sumber itu.

Tambahnya lagi, kehilangan pekerjaan dan pendapatan menjadikan tuntutan ganti rugi sesuatu yang munasabah kerana kesilapan tersebut telah menjejaskan karier serta reputasi profesional mereka. “Mereka tidak hanya mahu pampasan kewangan, tetapi juga mahu membersihkan nama bagi memulihkan semula kepercayaan dalam dunia bola sepak,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 28 September lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen kepada FIFA yang menyebabkan badan induk bola sepak dunia itu mengambil tindakan tegas menggantung FAM.

Bagi memastikan penyiasatan dijalankan dengan telus, FAM menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas dan menggantung tugas Setiausaha Agung buat sementara waktu. Langkah ini diambil bagi menjamin siasatan dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan atau konflik kepentingan.

Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib untuk mengenakan penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain berkenaan serta mengenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,800) kepada setiap pemain. FAM pula dikenakan denda besar berjumlah CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta).

Antara pemain yang terbabit dalam kes ini ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcas, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Iraurgui dan Hector Hevel. Mereka dikatakan telah melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA yang berkaitan dengan isu pemalsuan dokumen.

FAM kini menunggu keputusan bertulis rasmi daripada FIFA sebelum mengambil tindakan lanjut. Setelah keputusan itu diterima, FAM mempunyai tempoh 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Krisis ini telah memberi tamparan hebat kepada reputasi FAM sebagai badan pentadbir bola sepak negara. Pelbagai pihak dalam dan luar arena bola sepak menggesa agar langkah pembetulan segera dilaksanakan bagi mengelak kesilapan serupa berulang. Dalam masa sama, pemain yang terlibat berharap keadilan berpihak kepada mereka agar kerjaya dapat disambung selepas tempoh penggantungan tamat.

Dengan kemungkinan tindakan undang-undang ini, episod panjang antara FAM dan tujuh pemain itu dijangka terus menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan dan antarabangsa.