sukan

TERKINI: Ada sinar baharu buat Rodrigo Holgado

Desas-desus mengenai masa depan penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kembali menjadi perhatian selepas muncul laporan bahawa bekas kelabnya di Chile, Coquimbo Unido, dilaporkan berminat untuk menandatangani semula pemain itu.

Menurut sumber rapat, minat tersebut masih di peringkat awal dan bergantung kepada perkembangan semasa, khususnya berkaitan status penggantungan yang sedang dihadapi Holgado susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Holgado, yang dilahirkan di Argentina, pernah mencipta impak besar ketika bersama Coquimbo Unido pada musim 2023 apabila berjaya meledak sebanyak 19 gol sepanjang kempen liga. Rekod itu sekali gus menjadikan beliau antara penyerang paling produktif dalam pasukan tersebut dan turut menarik perhatian penyokong tempatan.

Bagaimanapun, laporan itu masih dikategorikan sebagai khabar angin. Coquimbo Unido dilaporkan akan menunggu perkembangan lanjut berhubung penggantungan 12 bulan yang dikenakan terhadap pemain itu. Hukuman berkenaan berpunca daripada isu pemalsuan dokumen yang turut membabitkan beberapa pemain lain berstatus warisan Malaysia.

Holgado, bersama enam lagi pemain warisan negara, dijatuhkan hukuman penggantungan selama setahun dan turut dikenakan denda hampir RM10,000 setiap seorang. Tindakan itu diambil selepas siasatan FIFA mendapati berlaku pelanggaran peraturan berkaitan pendaftaran pemain.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah mengemukakan rayuan bagi membatalkan keputusan tersebut. Namun, rayuan itu ditolak oleh badan induk bola sepak dunia dan kini FAM sedang berusaha mencari penyelesaian agar pemain-pemain terbabit, termasuk Holgado, dapat kembali beraksi dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, laporan media di Amerika Selatan turut mendedahkan bahawa kelab semasa Holgado, America de Cali dari Colombia, kini sedang dalam proses untuk menamatkan kontrak pemain tersebut.

Menurut laporan wartawan sukan terkenal dari Colombia, Pipe Sierra, keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengeluarkan keputusan rasmi mengenai kes penggantungan tersebut. Langkah itu sekaligus memberi bayangan bahawa kerjasama antara Holgado dan kelab Colombia itu mungkin akan berakhir lebih awal daripada dijangka.

Jika Coquimbo Unido benar-benar meneruskan niat untuk menandatangani semula penyerang berusia 29 tahun itu, ia mungkin menjadi peluang baharu untuk Holgado menghidupkan semula kariernya di Chile. Walaupun terpalit isu dokumentasi, kemampuan dan ketajamannya di depan gol tidak pernah diragui oleh peminat serta pemerhati bola sepak serantau.

Buat masa ini, semua pihak masih menantikan pengumuman rasmi sama ada FAM akan mengemukakan rayuan lanjut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau memilih jalan diplomasi dengan FIFA.

Dengan situasi yang masih belum menemui titik akhir, masa depan Rodrigo Holgado kekal terbuka dan menjadi tanda tanya sama ada beliau akan kembali ke pangkuan Coquimbo Unido atau menunggu penyelesaian penuh terhadap hukuman penggantungan yang sedang dihadapinya.

(Perkataan: 777)