sukan

“Nasihat saya kepada Arif Aiman” — Xisco Munoz

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan pemain sayap kanan, Arif Aiman Hanapi bagaikan wira buat pasukannya selepas membantu untuk menewaskan Shanghai Shenhua FC, 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, Arif Aiman menunjukkan kematangan ketika beraksi dan mampu membuat barisan pemain pertahanan skuad kendalian Leonid Slutskiy tergamam dengan kelicikan pemain itu apabila begitu rakus menyusup masuk ke dalam kotak penalti Shanghai Shenhua FC.

“Malam ini (malam tadi) Arif dan pemain lain memiliki persefahaman yang baik, dia begitu berani untuk beraksi di peringkat tertinggi Asia dan membuktikan kredibiliti sebaga pemain serba boleh tapi apa yang diutamakan adalah bermain secara berpasukan dan dia melakukan dengan baik.

“Arif juga memahami kehendak saya dalam perancangan taktikal dan mungkin malam ini (malam tadi) dia tidak jaringkan gol namun dua bantuan jaringan yang dilakukannya sudah memadai tatkala memain peranan penting bagi memastikan kemenangan buat JDT.

“Nasihat saya kepada Arif untuk kekalkan momentum permainan, jangan putus asa walaupun tidak menjaringkan gol selepas satu percubaannya hanya sipi dari gawang gol. Tapi kesungguhan dia dalam perlawanan itu amat dihargai dan wajar saya anggap dia wira buat JDT,” katanya.

Mengulas mengenai kegagalan untuk melerai jaringan pada babak pertama tatkala memiliki peluang, Munoz berkata, ketika rehat beliau memberi kata-kata perangsang kepada pemain supaya tidak berputus asa.

Bagaimanapun, beliau terpaksa melupakan khidmat Ager Aketxe yang terpaksa direharkan sekurang-kurangnya dua minggu selepas mengalami kecederaan pada minit ke-19 dan pihak perubatan pasukan akan melakukan pemeriksaan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami.

“Apabila kecederaan yang dialami Ager, saya memasukkan Afiq (Fazail) dan mengubah formasi permainan kepada 4-4-2 dan mengekalkan insentisi permainan dengan bergerak dari posisi sayap kiri dan kanan dan kesannya kami mengawal permainan mengikut formasi yang dibentuk.

“Apapun saingan masih panjang, perebutan slot lapan pasukan terbaik masih terbuka dan aksi seterusnya kami akan berdepan Melbourne City FC yang mula menunjukkan peningkatan mendadak dan saya perlu memastikan apa jua kelemahan harus diperkemaskan,” ujar Munoz.