sukan

FAM sebenarnya masih berdepan satu lagi kes

Isu membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya masih belum menemui titik noktah apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disahkan masih berdepan satu lagi kes berasingan di Tribunal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Pendedahan ini hadir selepas keputusan rayuan FAM terhadap hukuman terdahulu ditolak oleh badan induk dunia itu baru-baru ini, sekali gus memanjangkan lagi siri perundangan bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, mengesahkan bahawa FAM kini berada dalam dua proses berbeza di bawah seliaan FIFA yang masih berjalan dan belum menemui penyelesaian. Katanya, kes pertama membabitkan isu pemalsuan dokumen, manakala satu lagi kes berkait dengan Tribunal FIFA yang memberi tumpuan kepada aspek kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia.

“Kita semua kena tahu bahawa FAM sebenarnya berhadapan dengan dua kes iaitu membabitkan FIFA atas kesalahan pemalsuan dokumen dan juga satu kes lain di Tribunal FIFA yang masih berjalan,” kata Windsor.

Beliau menjelaskan, proses di Tribunal FIFA ini lebih menumpukan kepada isu eligibility to represent Malaysia, iaitu kelayakan tujuh pemain tersebut untuk bermain bagi skuad kebangsaan. Tambahnya, panel tribunal kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap semua dokumen pendaftaran pemain berkenaan sebelum sebarang keputusan rasmi dapat dibuat.

“Berkaitan Tribunal FIFA adalah lebih kepada kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia dan apabila keputusan sudah diperoleh nanti termasuk kes yang dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), barulah AFC boleh menilai langkah seterusnya,” katanya.

Untuk rekod, Tribunal Bolasepak FIFA berfungsi seperti ‘mahkamah dalaman’ yang meneliti kes-kes berkaitan peraturan dan tatakelakuan dalam sukan bola sepak dunia. Ia terdiri daripada tiga panel utama iaitu Jawatankuasa Tatatertib, Jawatankuasa Rayuan, serta Jawatankuasa Status Pemain dan Kelayakan.

Dalam kes FAM, isu berkenaan kini berada di bawah Jawatankuasa Status Pemain dan Kelayakan. Tribunal ini bertanggungjawab menilai semula semua dokumen pendaftaran tujuh pemain terbabit bagi menentukan sama ada mereka benar-benar memenuhi syarat kelayakan untuk menyarung jersi Malaysia di pentas antarabangsa.

Difahamkan, FAM kini berdepan tiga kemungkinan hasil keputusan tribunal itu kelak – sama ada hukuman dikekalkan, diringankan, atau ditambah bergantung kepada sejauh mana tribunal mempercayai bahawa tiada unsur penipuan disengajakan dalam proses pendaftaran pemain terbabit.

Menurut Windsor lagi, proses berkenaan dijangka mengambil masa panjang memandangkan setiap peringkat perlu melalui semakan terperinci termasuk kemungkinan kes dibawa ke CAS selepas ini.

“Masih banyak proses yang perlu dilalui oleh FAM dan tujuh pemain berkenaan, jadi keputusan rayuan sebelum ini bukanlah penamat kepada isu ini,” ujarnya.

Sebelum ini, harapan FAM untuk mengubah keputusan penggantungan yang dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA berkecai apabila badan itu gagal dalam proses rayuan.

Melalui keputusan rasmi Jawatankuasa Rayuan FIFA yang diumumkan baru-baru ini, badan induk dunia itu mengekalkan semua keputusan asal, termasuk penggantungan tujuh pemain serta denda berat terhadap FAM.

FIFA mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang terhadap tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua nama ini sebelum ini pernah didaftarkan sebagai pemain warisan yang mewakili Harimau Malaya dalam kejohanan antarabangsa, namun kini berdepan ketidakpastian mengenai masa depan mereka di pentas antarabangsa selepas keputusan rayuan itu ditolak.