sukan

TERKINI: Kenyataan penuh FIFA keputusan terhadap FAM

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan keputusan asal berhubung hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain import yang terbabit dalam kes pemalsuan dokumen, sekaligus menolak rayuan yang difailkan sebelum ini.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, FIFA memaklumkan Jawatankuasa Rayuan telah meneliti semua hujahan serta bukti berkaitan kes tersebut, termasuk sesi pendengaran yang dihadiri oleh wakil FAM dan tujuh pemain berkenaan. Hasil penelitian itu membawa kepada keputusan mengekalkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. Mereka disabitkan dengan kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan perbuatan pemalsuan dan penipuan dalam urusan dokumen rasmi.

FIFA menyatakan, selepas sesi pendengaran penuh dan semakan terhadap semua bukti, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak sepenuhnya rayuan yang dikemukakan. Maka, semua hukuman sedia ada terhadap FAM serta tujuh pemain tersebut kekal berkuat kuasa seperti diputuskan sebelum ini.

Antara hukuman yang disahkan termasuk denda terhadap FAM sebanyak CHF350,000, bersamaan kira-kira RM1.8 juta. Jumlah itu perlu dibayar kepada FIFA sebagai hukuman atas pelanggaran disiplin berkaitan skandal berkenaan. Sementara itu, setiap daripada tujuh pemain terbabit diperintahkan membayar denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) kepada FIFA.

Selain denda kewangan, kesemua pemain itu turut digantung daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak di bawah naungan FIFA untuk tempoh 12 bulan. Penggantungan itu bermula serta-merta selepas keputusan rayuan diumumkan, sekali gus menjejaskan kelangsungan kerjaya profesional mereka dalam tempoh setahun akan datang.

Menurut kenyataan rasmi FIFA, keputusan penuh dan bertulis akan dikeluarkan kepada FAM serta semua pemain dalam masa terdekat. Pihak terbabit diberi tempoh 10 hari untuk memohon salinan keputusan bertulis bersebab sekiranya berhasrat untuk mencabar keputusan itu ke peringkat seterusnya.

Selepas menerima keputusan bertulis tersebut, mereka mempunyai 21 hari untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS) bagi proses rayuan terakhir. Ini merupakan satu-satunya saluran undang-undang sukan antarabangsa yang boleh digunakan oleh pihak terbabit untuk mencabar keputusan FIFA.

FIFA menegaskan keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan semua bukti serta mematuhi prinsip keadilan dalam sukan. Kes ini juga menjadi amaran kepada semua badan bola sepak agar sentiasa memastikan urusan dokumentasi dan proses pendaftaran pemain dijalankan secara telus serta mengikut peraturan antarabangsa.

Skandal pemalsuan dokumen ini sebelum ini mencetuskan perhatian besar dalam dunia bola sepak tempatan selepas laporan mengenai penyertaan pemain import yang menggunakan dokumen tidak sah mendapat perhatian pihak berkuasa bola sepak dunia. FAM sebelum ini menegaskan komitmennya untuk bekerjasama sepenuhnya dengan FIFA dan mengambil langkah dalaman bagi memperkukuh integriti pentadbiran sukan bola sepak di Malaysia.

Dengan keputusan ini, FAM kini berdepan tekanan untuk menyelesaikan denda serta mengurus reputasi organisasi, sementara tujuh pemain berkenaan perlu menunggu setahun sebelum dibenarkan kembali beraksi dalam mana-mana liga di bawah kawal selia FIFA.