Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tampil menyuarakan pandangan tegas terhadap keputusan badan induk dunia, FIFA, yang mengekalkan hukuman penggantungan selama setahun terhadap tujuh pemain warisan negara. Baginda menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang “bermotifkan politik” dan tidak berlandaskan undang-undang seperti termaktub dalam Kod Tatatertib FIFA.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Instagram peribadi, Tunku Ismail menjelaskan bahawa FIFA menuduh pemain-pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang berkaitan dengan pemalsuan dan penipuan dokumen. Namun, Baginda menegaskan bahawa tiada satu pun daripada alasan yang dikemukakan oleh FIFA itu terpakai terhadap tujuh pemain berkenaan.
“FIFA meneruskan hukuman kepada pemain-pemain ini dengan alasan menyalahi Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen, sedangkan tiada satu pun terpakai kepada pemain ini,” titah Tunku Ismail dalam kenyataannya.
Baginda turut menambah bahawa tindakan badan dunia itu jelas bertentangan dengan maksud sebenar peraturan yang ditetapkan sendiri oleh FIFA. “FIFA terus menghukum pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain,” katanya lagi.
Menurut Tunku Ismail, apa yang berlaku menggambarkan seolah-olah keputusan yang diambil bukanlah berdasarkan prinsip keadilan atau bukti kukuh, sebaliknya menunjukkan elemen campur tangan dan pertimbangan luar padang. “Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan seperti lebih bersifat ‘bermotifkan politik’ berbanding sebab yang sebenar,” tegas Baginda.
Dalam kenyataan itu juga, Tunku Ismail turut menyeru agar semua pihak kekal bersatu dan tidak menuding jari antara satu sama lain dalam menghadapi situasi genting ini. “Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya pilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) — sebuah badan bebas,” jelas Baginda.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan asal terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berkenaan, sekali gus menolak rayuan yang dikemukakan oleh pihak FAM sebelum ini.
Berdasarkan keputusan rasmi FIFA, FAM diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF350,000 atau kira-kira RM1.9 juta, manakala setiap pemain dikenakan denda individu sebanyak CHF2,000, bersamaan kira-kira RM10,800 setiap seorang. Mereka yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan sebelum ini disahkan sah beraksi bersama skuad kebangsaan di bawah kelulusan rasmi FAM, namun keputusan FIFA ini menimbulkan kekeliruan dan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong tempatan yang merasakan hukuman itu tidak adil.
Dalam pada itu, tindakan Tunku Ismail yang terus menyokong perjuangan pemain warisan ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) dianggap sebagai langkah penting bagi menuntut keadilan di peringkat tertinggi. CAS berperanan sebagai badan bebas antarabangsa yang mengadili pertikaian berkaitan sukan secara objektif dan profesional.
Kenyataan tegas daripada Tunku Ismail ini sekali lagi memperlihatkan komitmen tinggi Baginda terhadap kelangsungan bola sepak Malaysia serta pembelaan terhadap maruah pemain-pemain yang terlibat. Dalam situasi yang mencabar ini, baginda menegaskan pentingnya ketelusan, keadilan dan semangat solidariti dalam memastikan nama baik Malaysia terus dipertahankan di pentas antarabangsa.