sukan

Komen tanpa berselindung jurulatih Shanghai menjelang aksi berdepan JDT

Ketua jurulatih Shanghai Shenhua dari China, Leonid Slutskiy, menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan yang memiliki gaya permainan menyerupai kelab-kelab dari Sepanyol menjelang pertembungan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur musim ini. Beliau mengakui bahawa corak permainan JDT di bawah kendalian Xisco Munoz mengingatkannya kepada pasukan yang terkenal dengan permainan ‘tiki-taka’ di La Liga.

Slutskiy, yang pernah membimbing CSKA Moscow dan Hull City, menegaskan perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi pertembungan menarik dua falsafah bola sepak yang berbeza. Menurutnya, JDT terkenal dengan corak penguasaan bola dan gerakan pantas, sementara pasukannya, Shanghai Shenhua, pula mengamalkan pendekatan taktikal “total football” yang menekankan keseimbangan antara serangan dan pertahanan.

Ketika ditanya sama ada pertemuan ini memberi peluang untuk Shanghai Shenhua menebus kekalahan 0-3 yang dialami musim lalu, Slutskiy menjelaskan bahawa fokus utamanya bukanlah kepada membalas dendam. Sebaliknya, beliau melihat kekalahan musim lalu berpunca daripada kekurangan kualiti dalam barisan pemain serta tempoh pemulihan yang singkat selepas jadual padat liga domestik.

“Apabila saya menonton aksi JDT, saya dapat melihat bagaimana mereka bermain dengan struktur permainan yang hampir sama seperti kelab Sepanyol. Mereka menitikberatkan penguasaan bola, menyerang secara terancang, mempunyai pergerakan bola yang pantas serta kombinasi pemain yang sangat baik di kawasan tengah. Malah, mereka juga cukup tersusun dalam situasi bola mati,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan.

Slutskiy turut menjelaskan bahawa musim lalu bukanlah gambaran sebenar kekuatan Shanghai Shenhua. “Kami ketika itu menghadapi kesukaran dari segi logistik dan pemulihan fizikal. Musim ini, kami mempunyai lebih banyak masa untuk pemulihan selepas aksi liga domestik. Itu memberi kelebihan kepada kami untuk tampil dengan pasukan yang lebih segar dan bersedia dari segi taktikal,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 53 tahun itu percaya perlawanan menentang JDT kali ini akan menjadi lebih seimbang dan mencabar bagi kedua-dua pasukan. “Saya yakin kami akan tampil lebih kompetitif. Perlawanan ini bukan hanya sukar untuk kami, tetapi juga untuk JDT kerana mereka akan berdepan pasukan yang kini lebih mantap dan berdisiplin,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada perubahan besar dalam pasukan pada musim ini. Hanya dua pemain import baharu dibawa masuk untuk memperkukuh skuad menjelang saingan Liga Super China (CSL) dan juga kempen ACLE. “Kami membawa masuk Saulo Mineiro dari Brazil dan Luis Asue dari Equatorial Guinea untuk memperkuatkan jentera serangan. Selain itu, kami turut mendapatkan Ibrahim Amadou bagi memperkukuh barisan pertahanan,” jelas Slutskiy.

Tambahnya lagi, tumpuan latihan kini lebih banyak diberikan kepada aspek pertahanan dan taktikal bagi menghadapi corak permainan JDT yang cenderung menyerang. “Kami sedar JDT memiliki variasi taktikal yang berbahaya serta keupayaan menyerang yang tinggi. Oleh itu, kami memperkemas organisasi pertahanan dan dalam masa yang sama menyusun strategi serangan balas yang boleh memerangkap mereka,” ujar beliau.

Perlawanan antara Shanghai Shenhua dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim malam esok dijangka menjadi antara aksi tumpuan dalam saingan ACLE Zon Timur, dengan kedua-dua pasukan membawa reputasi tinggi di liga masing-masing. Slutskiy menegaskan bahawa beliau menghormati kekuatan JDT, namun yakin pasukannya mempunyai kemampuan untuk memberikan saingan sengit.

“Setiap pasukan mempunyai kelebihan tersendiri. JDT memang kuat di gelanggang sendiri dan mempunyai penyokong fanatik. Namun, kami datang dengan semangat baharu dan persiapan yang lebih rapi. Saya mahu pemain menikmati perlawanan ini sambil mengekalkan fokus untuk mencapai keputusan positif,” katanya menutup bicara.