Hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun untuk mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hylo di Jerman tidak kesampaian selepas langkah mereka terhenti di peringkat separuh akhir.
Dalam aksi yang berlangsung di Saarlandhalle, Saarbrucken, pasangan yang kini berada di ranking kelima dunia itu tunduk kepada beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan keputusan straight set, 16-21, 15-21.
Kekalahan tersebut menutup peluang mereka untuk merebut kejuaraan di kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu. Lebih menyedihkan, rakan sepasukan Tee Kai Wun sebenarnya beraksi dalam keadaan menahan kesakitan akibat kecederaan betis yang masih belum pulih sepenuhnya. Difahamkan, beliau baru sahaja pulih daripada kecederaan koyak otot betis sebelum menyertai kejohanan tersebut.
Dalam perkongsian di laman Instagram Story selepas tamat perlawanan, Kai Wun memohon maaf kepada para penyokong kerana tidak dapat meneruskan perjuangan ke pentas final. Beliau turut memuat naik gambar dirinya sedang menerima rawatan.
“Maaf semua, saya sudah berusaha sedaya upaya. Sebelum datang ke pertandingan (Terbuka Hylo) pun saya tidak tahu sama ada boleh bertahan sampai sekarang tetapi saya gembira dengan aksi yang ditunjukkan. Terima kasih kepada semua atas dorongan serta sokongan berterusan yang diberikan kepada saya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Pasangan juara Malaysia Masters dan Indonesia Masters itu sebelum ini terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan disebabkan kecederaan yang dialami, termasuk Terbuka Arctic di Finland serta Terbuka Denmark.
Walaupun belum pulih sepenuhnya, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, menjelaskan bahawa mereka berkemungkinan besar akan menyertai kejohanan seterusnya di Kumamoto Masters minggu depan. Tindakan itu bagi mengutip mata penting ke Jelajah Dunia Akhir yang dijadual berlangsung Disember ini.
“Permainan mereka tidak maksimum dan banyak melakukan kesilapan kerana kondisi Tee (Kai Wun) tidak 100 peratus. Mungkin akan ke Kumamoto bagi mengutip mata kelayakan Jelajah Dunia Akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Walaupun gagal ke final, prestasi konsisten yang ditunjukkan oleh Wei Chong dan Kai Wun sepanjang kejohanan ini tetap mendapat pujian peminat badminton tanah air. Mereka menunjukkan semangat juang tinggi biarpun salah seorang pemain berdepan kecederaan yang membataskan pergerakan.
Bagi peminat sukan ini, pengorbanan Kai Wun yang tetap turun beraksi meskipun belum cergas sepenuhnya menjadi bukti kesungguhan untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.