Bekas pemain beregu kebangsaan, Datuk Razif Sidek, menegaskan bahawa pasangan beregu profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, perlu bersikap lebih jujur terhadap diri sendiri dalam menilai tahap disiplin serta mutu latihan mereka sekiranya mahu kembali menguasai gelanggang badminton antarabangsa.
Pandangan itu hadir selepas pasangan ranking keempat dunia itu menutup siri jelajah Eropah dengan prestasi tidak menentu apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Denmark, mara ke suku akhir Terbuka Perancis, sebelum tewas di pusingan kedua Terbuka Hylo di Jerman semalam.
Setakat ini, Sze Fei dan Izzuddin hanya berjaya meraih satu kejuaraan pada musim ini menerusi kejayaan di Terbuka India pada Januari lalu, selain muncul naib juara di Terbuka Jepun pada Julai. Namun kekalahan mereka di Jerman jelas memberi tamparan besar kepada usaha untuk merebut tempat ke Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China, dari 17 hingga 21 Disember ini.
Menurut Razif, faktor utama yang menghambat prestasi konsisten pasangan ini ialah kekurangan rakan sepelatih yang berdaya saing serta tahap fizikal yang belum mencapai tahap terbaik. Katanya, kehebatan taktikal mereka masih boleh dibanggakan, tetapi kelemahan dari aspek penyudah dan ketahanan fizikal memberi kesan besar ketika beraksi di gelanggang sebenar.
“Saya tengok dari segi taktikal, mereka memang bagus. Tapi penyudah masih lemah dan itu datang daripada fizikal. Mungkin mereka perlukan rakan sepelatih yang lebih kuat. Kalau latihan tidak cukup mencabar, sukar nak kekalkan daya tahan serta ketajaman dalam perlawanan sebenar,” kata bekas juara Seluruh England itu.
Razif yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 turut menegaskan bahawa Sze Fei dan Izzuddin kini berada pada tahap kematangan karier, justeru mereka perlu lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri serta menilai sejauh mana kesungguhan mereka dalam latihan harian.
“Sebagai pemain profesional, mereka kena jujur dengan diri sendiri. Cukup ke latihan yang dibuat? Kuat ke fizikal? Mereka bukan pemain muda lagi, jadi sekarang masa untuk mengekalkan prestasi. Kalau satu hari leka saja dalam training, memang susah nak kejar balik,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa aspek disiplin dan kesungguhan perlu menjadi tunjang utama dalam setiap sesi latihan. Baginya, dua elemen itu menjadi kunci kepada ketahanan dan prestasi jangka panjang bagi mana-mana atlet yang ingin kekal bersaing di peringkat dunia.
“Mereka ada kualiti, tapi disiplin kena dijaga. Kalau ambil ringan, memang sukar nak kekal dalam kelompok terbaik dunia,” ujar Razif lagi.
Musim lalu menyaksikan pasangan ini tampil luar biasa apabila menjuarai tiga kejohanan utama — Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik di Finland — serta muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir. Namun, tahun ini menyaksikan kemerosotan yang nyata apabila prestasi mereka dilihat tidak stabil sepanjang musim.
Bagaimanapun, Razif tetap optimis terhadap kemampuan beregu tersebut untuk bangkit semula dengan syarat struktur latihan diperbaiki dan mereka mendapat rakan sepelatih yang lebih berkualiti.
“Mereka ada bakat dan semangat juang. Kalau dapat latihan yang lebih mantap serta rakan sepelatih yang betul-betul kuat, saya yakin mereka boleh kembali ke prestasi terbaik,” katanya menutup bicara.