Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tidak berselindung apabila mendedahkan beliau merindui Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo.
Dalam sidang media menjelang pertembungan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) malam esok, Munoz dengan nada jujur mengakui bahawa kehilangan tiga pemain tersebut memberi impak besar terhadap perancangannya dalam membentuk strategi pasukan terbaik menjelang aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
“Ketiadaan Joao (Figueiredo) di jentera serangan, serta Hector (Hevel) dan Jon (Irazabal) di bahagian tengah dan pertahanan amat dirasai kerana mereka memainkan peranan penting dalam keseimbangan pasukan JDT,” ujar Munoz.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu menegaskan bahawa beliau dan seluruh pasukan tetap akan bersikap profesional dengan menantikan proses seterusnya daripada pihak berwajib sebelum tiga pemain berkenaan boleh kembali memperkuat skuad Harimau Selatan.
Munoz turut menambah bahawa perlawanan menentang TFC akan menjadi antara cabaran paling sukar buat JDT musim ini, memandangkan mereka bakal beraksi di gelanggang lawan selain berdepan kepadatan jadual yang menuntut kecergasan maksimum setiap pemain.
“Menentang TFC adalah ujian paling besar buat kami. Kami bukan sahaja bermain di tempat lawan tetapi juga berdepan situasi di mana pemain perlu pulih dalam tempoh yang singkat. Maka, persediaan dan proses pemulihan pemain perlu berada pada tahap tertinggi,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan bahawa jadual padat bukan alasan untuk tidak mempamerkan prestasi terbaik. Katanya, setiap pemain harus bersedia secara mental dan fizikal untuk terus mengekalkan rentak kemenangan serta menampilkan karakter positif yang menjadi identiti JDT.
“Jadual padat bukan alasan. Kami perlu ke sana dengan semangat tinggi dan misi memburu kemenangan. Apa yang saya mahu ialah gaya permainan yang konsisten, intensiti yang tinggi dan keyakinan yang mencerminkan jiwa pasukan ini,” tambahnya lagi.
Ketika ditanya mengenai barisan pemain yang akan diturunkan, Munoz memberi bayangan bahawa beliau mungkin akan melakukan penggiliran dalam kesebelasan utama bagi memastikan kecergasan pemain sentiasa berada di tahap optimum.
Menurutnya, beliau kini gembira dengan perkembangan positif pemain baharu, Teto Martin, yang kembali menjalani latihan penuh selepas berehat akibat kecederaan. Kehadiran Teto jelas memberi lebih banyak pilihan taktikal kepada Munoz untuk merencana strategi terbaik.
“Berdepan TFC, saya mungkin akan melakukan sedikit perubahan dalam barisan serangan. Saya boleh mempertimbangkan untuk menggandingkan Bergson (da Silva) bersama Jairo (da Silva), atau mungkin dengan Romel Morales. Ia bergantung kepada keperluan taktikal dan tahap kesediaan pemain,” jelasnya.
Dengan keyakinan tinggi, Xisco Munoz menegaskan bahawa setiap perlawanan adalah penting buat JDT, bukan sahaja dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Super tetapi juga memastikan momentum pasukan kekal positif menjelang aksi-aksi penting seterusnya.
Katanya, walaupun kehilangan tonggak utama memberi cabaran besar, JDT tetap akan tampil dengan disiplin dan keazaman yang kuat demi memastikan kemenangan terus menjadi milik mereka.
(773 patah perkataan)