sukan

itu normal dalam bola sepak — Xisco Munoz

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz, menegaskan bahawa disiplin serta keserasian antara pemain menjadi faktor utama yang mendorong kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan ke atas Penang FC dengan keputusan 3-0 (agregat 5-1) dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa.

Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, biarpun melakukan rombakan besar terhadap barisan kesebelasan utama berbanding perlawanan sebelum ini, semua pemain menunjukkan semangat dan disiplin tinggi untuk memastikan kemenangan serta tempat ke separuh akhir.

“Kita baru bermain dua hari lalu, dan hari ini (Selasa) saya menurunkan barisan berbeza. Namun mereka beraksi dengan sangat baik, mengikut perancangan taktikal yang telah ditetapkan. Saya amat berpuas hati dengan disiplin serta keserasian yang mereka tunjukkan di atas padang,” ujar Muñoz ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan.

Beliau turut menjelaskan bahawa perubahan taktikal pada separuh masa kedua dilakukan bagi mengekalkan penguasaan permainan dan memastikan skuad kendaliannya mengekalkan momentum hingga ke penghujung perlawanan.

“Separuh masa kedua kami ubah sedikit pendekatan, namun yang paling penting, kami berjaya mara ke pusingan seterusnya dan mengekalkan rekod bersih tanpa bolos. Itu menunjukkan keteguhan pertahanan dan tumpuan yang tinggi daripada semua pemain,” jelasnya.

Dalam perlawanan itu, penyerang utama JDT, Bergson Da Silva, sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya apabila membuka jaringan pada minit ke-38, sebelum Jonatan Silva menggandakan kelebihan dua minit kemudian. Gol ketiga pula dijaringkan oleh pemain tengah, Eddy Israfilov, pada masa kecederaan babak pertama untuk memastikan kemenangan selesa 3-0.

Mengulas lanjut mengenai persembahan pasukan, Muñoz berkata setiap pemain perlu terus mengekalkan fokus dan stamina menjelang siri perlawanan penting yang akan datang, terutamanya apabila bermain di gelanggang lawan yang lebih mencabar.

“Kami masih mempunyai beberapa perlawanan dalam tempoh singkat, jadi pemain perlu kekal fokus seperti hari ini. Bermain di tempat lawan bukan mudah, dan mereka perlu mengekalkan momentum ini hingga ke penghujung musim,” katanya.

Jurulatih itu turut memuji usaha serta kesungguhan pemain muda yang diberi peluang tampil dalam perlawanan tersebut, termasuk seorang pemain dari JDT 2 yang membuat penampilan sulung bersama skuad utama.

“Saya gembira kerana dapat beri peluang kepada pemain muda untuk beraksi. Sudah tentu mereka ada lakukan kesilapan kecil, itu lumrah dalam bola sepak. Apa yang penting adalah mereka menunjukkan semangat untuk belajar dan memperbaiki diri,” ujarnya.

Muñoz menambah bahawa sebagai jurulatih, menjadi tanggungjawabnya untuk membimbing pemain muda agar dapat meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi dan bersedia menyertai pasukan utama secara tetap.

Beliau menegaskan bahawa JDT akan terus memberi sokongan serta ruang kepada pemain muda untuk membina keyakinan dan pengalaman. Menurutnya, pendekatan itu adalah sebahagian daripada falsafah kelab bagi memastikan kesinambungan kejayaan Harimau Selatan di masa depan.

Dengan kemenangan ini, JDT mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA dan mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan paling konsisten dalam saingan domestik. Disiplin, komitmen dan keserasian yang ditonjolkan di atas padang menjadi bukti betapa kukuhnya struktur pasukan yang dibina oleh Muñoz sejak mengambil alih tanggungjawab sebagai pengendali utama.