“Bagaimana perasaan anda jika anak atau ahli keluarga sendiri diserang sebegitu rupa di media sosial?”
Itulah persoalan yang dibangkitkan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei, susulan tindakan segelintir peminat yang dilihat melampaui batas dalam memberikan kecaman terhadap pemain kebangsaan baru-baru ini.
Chong Wei yang baharu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, peminat perlu bersikap lebih rasional dan matang ketika menzahirkan pandangan, terutama di platform media sosial.
Menurutnya, komen negatif dan kecaman keterlaluan bukan sahaja menjatuhkan semangat atlet, malah boleh menjejaskan mental dan prestasi mereka di gelanggang.
“Kalau tak mahu sokong, jangan komen bukan-bukan. Kita semua manusia, atlet pun tak mahu kalah. Mereka berlatih setiap hari untuk bawa nama negara,” katanya dengan nada kesal.
Tegasnya, atlet kebangsaan telah berkorban masa, tenaga dan emosi demi mengharumkan nama Malaysia, maka tidak wajar mereka dipersalahkan seolah-olah tiada usaha dilakukan setiap kali mengalami kekalahan.
Sebelum ini, BAM dalam satu kenyataan rasmi turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu yang meninggalkan mesej berunsur penghinaan dan ugutan di media sosial terhadap pemain negara.
Badan induk badminton tanah air itu menegaskan bahawa tiada tempat untuk kebencian, diskriminasi mahupun intimidasi dalam arena sukan, dan kebajikan serta keselamatan para pemain akan terus menjadi keutamaan utama mereka.
Bagaimanapun, BAM tidak mendedahkan identiti pemain yang menjadi mangsa serangan siber tersebut bagi menjaga privasi individu berkenaan.
Dalam nada prihatin, Chong Wei menyeru para peminat supaya belajar meletakkan diri mereka di tempat atlet.
“Bayangkan kalau yang kena itu anak atau keluarga anda sendiri, apa perasaan anda? Atlet sudah banyak berkorban untuk negara, janganlah tambah tekanan dengan komen yang menyakitkan,” katanya.
Beliau turut menasihati para pemain agar tidak terlalu mengambil hati terhadap kritikan negatif, sebaliknya menjadikan ia sebagai motivasi untuk terus memperbaiki diri.
“Kalau boleh, kurangkan tengok komen di media sosial. Tapi saya tahu bukan senang. Cuma yang penting, buktikan di gelanggang. Itu jawapan paling baik,” ujar bekas pemain nombor satu dunia itu.
Mengulas lanjut, Chong Wei menjelaskan bahawa dalam dunia sukan, prestasi atlet pasti mengalami turun naik, dan ia perkara biasa dalam perjalanan karier mana-mana pemain profesional.
“Tiada atlet yang mahu kalah. Kalau mahu kalah, mereka takkan berlatih tujuh, lapan jam setiap hari. Tapi dalam sukan, ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Itu lumrah,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar media sosial dijadikan saluran untuk menyebarkan sokongan dan dorongan positif kepada atlet, bukan platform untuk menjatuhkan semangat mereka.
“Gunakan media sosial untuk beri sokongan dan semangat. Kalau tak suka, tak apa, tapi jangan komen yang bukan-bukan,” katanya mengakhiri pesanan.